Dana iklim RM1.3 trilion tidak mencukupi

dana cop29 1 scaled

Penyelamat mendayung bot di sepanjang jalan yang dinaiki air ketika hujan lebat akibat Taufan Gaemi di Manila, Filipina pada 24 Julai lalu. – AFP

BAKU, Azerbaijan – Persidangan global perubahan iklim, COP29 meluluskan perjanjian yang bakal menyaksikan negara-negara kaya memperuntukkan dana bantuan berjumlah AS$300 bilion (RM1.3 trilion) setiap tahun menjelang 2035, lapor saluran berita CNN semalam. 

Dana itu akan digunakan untuk membantu negara-negara miskin menghadapi kesan bencana yang semakin teruk akibat perubahan iklim. 

Perjanjian itu dibuat selepas dua minggu peserta menghadapi rundingan dan pertelingkahan yang huru-hara termasuk boikot, pertikaian politik dan isu berhubung bahan api. 

Rundingan tersebut hampir menemui kegagalan apabila kumpulan mewakili negara kepulauan kecil yang terdedah dan mundur, bertindak keluar dari mesyuarat, selain mengancam untuk meninggalkannya jika negara kaya tidak menyediakan lebih banyak dana. 

Hampir 200 negara akhirnya bersetuju dengan perjanjian kewangan berkenaan selepas berbahas selama lebih 30 jam.

“Ia adalah satu perjalanan yang sukar tetapi kami menemukan kata sepakat. Matlamat kewangan baharu ini merupakan polisi insurans untuk kemanusiaan di tengah-tengah kesan iklim yang semakin teruk melanda setiap negara,” kata Ketua Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim, Simon Stiell. 

Bagaimanapun, jumlah dana yang dijanjikan itu menerima kecaman negara-negara terdedah kerana jauh lebih rendah daripada jumlah yang dijangkakan oleh ahli ekonomi iaitu sebanyak AS$1.3 trilion (RM5.8 trilion).

Seorang wakil dari India, Chandni Raina menyelar jumlah itu yang dianggap terlalu kecil selain mengutuk perjanjian tersebut dengan menyifatkannya ‘tidak lebih daripada ilusi’, dan tidak dapat menangani tahap cabaran yang dihadapi mereka.

“Kami akan menerima sebahagian kecil daripada peruntukan yang sangat diperlukan,” kata Utusan Iklim Kepulauan Marshall, Tina Stege. – AGENSI