RM2.1 juta saman PDRM dilunaskan sepanjang dua hari 2TM

Bayar saman

Orang ramai sedang menunggu giliran untuk membuat semakan dan pembayaran saman PDRM di program 2TM di KLCC semalam

KUALA LUMPUR – Kira-kira RM2.1 juta saman berjaya dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang dua hari penganjuran Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah tersebut adalah daripada 24,400 saman dilunaskan sehingga petang ini.

“Daripada jumlah saman yang dilunaskan, kita dapati kesalahan lalu lintas, mengabai isyarat lalu lintas dan memandu melebihi had laju paling tinggi dicatatkan.

“Secara keseluruhan, pengunjung yang hadir untuk melunaskan saman mereka di KLCC ini berpuas hati dengan kemudahan yang kita sediakan terutamanya ruang menunggu yang menempatkan lebih 500 kerusi dan 25 kaunter pembayaran,”katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, pihaknya menjangkakan hari terakhir program iaitu esok akan lebih ramai memandangkan cuti hujung minggu.

“Untuk keselesaan pengunjung, kita menyediakan laluan dan kaunter khas terutamanya kepada orang kelainan upaya (OKU), wanita mengandung dan warga emas.

“Selain itu, PDRM turut menyediakan kupon saman, pengunjung yang hadir tidak perlu beratur dan perlu menjelaskan menerusi aplikasi Mybayar,”jelas Mohd. Yusri. – https://amiminerals.org/