Lebih 4,500 sertai Larian & Jalan Malam Tenaga TNB 2024

larian tnb

Fadillah menyertai acara pejalan kaki sejauh 3KM pada program TNB Energy Night Walk & Run 2024 di Anjung Floria Putrajaya hari ini – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA- Setelah kali terakhir diadakan pada 2019 lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganjurkan semula Larian & Jalan Malam TNB 2024 di Anjung Floria di sini hari ini.

Acara itu turut menerima sambutan hebat apabila disertai lebih 4,500 peserta di mana ia diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-75 syarikat utiliti itu pada 1 September lepas.

Pelepasan peserta terbabit disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir menyaksikan acara itu ialah Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Menurut kenyataan dikeluarkan, aktiviti sedemikian menyerlahkan kepentingan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan komuniti serta nilai kelestarian yang menjadi amalan rakyat.

“Ini juga selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang dilaksanakan TNB serta menunjukkan komitmen syarikat mempromosikan amalan kecekapan.

“Penyertaan luar biasa yang diterima kali ini membuktikan warga Malaysia masih lagi mengutamakan aspek kesejahteraan terhadap alam sekitar di seluruh negara,” katanya. – https://amiminerals.org/