PETALING JAYA – Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) yang diadakan di Putarajaya hari ini secara keseluruhannya menyenaraikan usaha dan komitmen berterusan kerajaan Malaysia bersama ASEAN dalam menangani cabaran serantau dan global.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, FIM yang memasuki edisi ketiga itu turut memanfaatkan peluang untuk memperkukuh kerjasama dan kesejahteraan bersama dalam anggota ASEAN.
“Antara topik yang dikupas oleh panel adalah mengenai persediaan dan strategi Malaysia untuk memainkan peranannya pada Kepengerusian ASEAN 2025; inklusiviti dan kemampanan dalam Visi ASEAN; serta peningkatan kerjasama rantau ASEAN.
“Turut dibicarakan mengenai cabaran dan peluang dalam isu global; ASEAN sebagai blok ekonomi dan kuasa diplomasi; isu sosial dan kesejahteraan; serta pengukuhan semangat dan kepimpinan ASEAN,”tulis kenyataan tersebut.
Terdahulu, FIM merupakan satu inisiatif yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan sebagai satu bentuk wacana intelektual dan selari dengan aspirasi KPT yang memainkan peranan penting untuk memupuk dan menggalakkan budaya perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman oleh ilmuwan dan masyarakat dalam pelbagai bidang berlandaskan pendekatan senegara (Whole-of-Nation approach).
Tambah kenyataan itu, program yang mengetengahkan topik ‘Hala Tuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025’ itu menampilkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi moderator bagi tiga panel jemputan iaitu Menteri Luar Negara, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah dan Felo Penyelidik Kehormat Perak Academy.
Katanya, Malaysia komited untuk terus memastikan pelaksanaan kepengerusian ASEAN yang dinamik dan berkesan selaras dengan prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) dan keharmonian serantau.
Turut hadir Menteri KPT, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua-ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua-Ketua Jabatan. – https://amiminerals.org/