KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam memainkan peranan memberikan pendedahan awal mengenai literasi kewangan kepada pelajar dari peringkat awal persekolahan, antaranya menerusi kerjasama awam-swasta.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, sejajar dengan Kurikulum Sekolah Tahun 2027 yang menekankan pendidikan dan kemahiran celik kewangan sepanjang hayat, KPM menyambut baik Program Cabaran AEIOU yang dianjurkan oleh Alliance Bank Malaysia Berhad, baru-baru ini.
Beliau berkata, program inovasi berkenaan membantu memberi pemahaman yang lebih baik kepada pelajar sekolah mengenai konsep kewangan yang betul.
“Melalui cabaran AEIOU, murid-murid dapat mempelajari amalan terbaik untuk mengurus kewangan mereka melalui cara yang lebih menarik dan menyeronokkan.
“Sambutan luar biasa dari warga sekolah dan jumlah penyertaaan yang diterima adalah bukti betapa pentingnya mesej program ini dalam usaha untuk membangunkan pemahaman pengurusan kewangan yang bijak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Pendidikan Kewangan AEIOU Musim Ke-7 di sini, kelmarin.
Dana Dahlia Andy Zulkarnaen, dari Sekolah Kebangsaan (SK) St. Francis Convent, Sabah, dinobatkan sebagai juara Cabaran Komik dan memenangi hadiah wang tunai RM5,000, trofi, hamper Faber-Castell, serta sijil pencapaian atas penyampaian jalan cerita menarik mengenai konsep pengurusan wang.
Sementara itu, Cabaran e-Permainan Kewangan AEIOU menyaksikan Jitesh Varma a/l Nookeswararao dari SK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur, membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM3,000, trofi, hamper Faber-Castell, dan sijil pencapaian.
Sejak dilancarkan pada tahun 2015, Program Cabaran AEIOU telah melibatkan lebih 180,000 pelajar sekolah rendah dengan lebih 200,000 penyertaan melalui Cabaran Komik dan Cabaran e-Permainan.
Dalam pada itu, Kah Woh berkata, celik kewangan bukan sekadar mempunyai kebolehan dalam menguruskan wang, ia merupakan kemahiran asas kehidupan yang dapat membantu seseorang berdepan masalah kewangan yang tidak terjangka.
“Celik kewangan dapat membantu individu supaya mempunyai tabiat berbelanja yang lebih baik, mengurus matlamat kewangan dan menambah baik taraf kehidupan.
“Bagi anak-anak kita, memahami cara mengemudi kerumitan ekonomi digital dan mengurangkan pendedahan kepada penipuan kewangan atau pun ‘scam’ adalah amat penting.
“Kita bukan sahaja mahu anak-anak cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga mampu membangunkan kemahiran praktikal yang dapat membantu mereka berjaya dalam hidup,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Malaysia Berhad, Kellee Kam berkata, seramai 40 orang finalis berbakat dari seluruh negara telah tampil dalam pusingan akhir untuk menonjolkan pengetahuan kewangan mereka melalui Cabaran AEIOU yang bertemakan ‘Spot The Scams: Be a Financial Superhero!’.
Katanya, program berkenaan, yang kini memasuki edisi ketujuh menyaksikan penyertaan mencecah hampir 40,000 murid sekolah berusia sembilan hingga 12 tahun di seluruh negara.
“Program ini merupakan sebuah perjalanan dinamik ke arah meningkatkan pengetahuan celik kewangan, menerusi penganjuran bengkel secara fizikal dan maya.
“Program Cabaran AEIOU yang telah diiktiraf oleh KPM dan disokong Bank Negara Malaysia ini juga telah mencipta rekod seramai 79,825 penyertaan, jauh melebihi sasaran asal iaitu 4,825 penyertaan,” katanya.
Tambah beliau, sebagai sebuah organisasi yang mengutamakan komuniti, pihaknya komited untuk menjadi The Bank For Life dengan melahirkan individu celik kewangan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Dengan menerapkan tabiat kewangan yang sihat pada usia muda, kami melengkapkan pelajar sekolah dengan pemahaman nilai kewangan dan menyemai sikap bertanggungjawab dari segi pengurusan kewangan apabila mereka melangkah ke dunia pekerjaan.
“Pengetahuan asas ini membolehkan mereka menavigasi landskap kewangan yang semakin kompleks. Kami terus menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan celik kewangan rakyat Malaysia melalui inisiatif yang bermakna dan berkesan,” katanya.