IPSWICH – Pengendali Ipswich Town, Kieran McKenna percaya pertemuan menentang Manchester United di Portman Road tengah malam ini akan menjadi perlawanan yang cukup penting dan tidak bersedia memberikan aksi mudah mudah pasukan lawannya.
United akan berkunjung ke Suffolk buat kali pertama sejak 2002 dengan impian untuk mencatat kemenangan pertama di bawah kendalian Ruben Amorin yang dilantik pengurus baharu menggantikan Erik Ten Hag yang dipecat.
Bagaimanapun, McKenna yang pernah bermain di United serta menyertai staf kejurulatihan kelab itu sebelum berhijrah ke Ipswich pada Disember 2021 bersedia untuk menafikan ‘pesta’ yang diharapkan oleh penyokong United.
Berbekalkan kejayaan menewaskan Tottenham Hotspur buat kali pertama di gelanggang sendiri pada aksi terakhir sebelum cuti rehat antarabangsa, Ipswich percaya mereka mampu untuk mengekalkan momentum tersebut.
“Ia perlawanan yang kami sangat-sangat tidak sabar untuk turun dan mempamerkan aksi terbaik. Ia bukan kerana saya pernah ada hubungan dengan United, tetapi sebagai pengendali Ipswich ini adalah peluang untuk kami membuktikan kerja keras yang dilakukan sebelum ini.
“Perlawanan ini akan menjadi perlawanan besar hujung minggu dan ia berlangsung di Portman Road. Tidak ada yang lebih membanggakan saya berbanding menantikan perlawanan kali ini.
“Sudah pasti dalam naratif bola sepak dunia, apabila anda menentang Manchester United yang dikendalikan pengurus baharu, ia akan menjadi tumpuan. Kami sedia untuk mengharungi aksi berkenaan,” katanya.
McKenna yang berjaya membantu Ipswich mempamerkan peningkatkan sejak dua tahun lalu dan membantu mereka dipromosi ke liga utama musim ini, beliau bersedia untuk memberikan Amorim kesukaran pada aksi debutnya di England.
“Saya fikir atmosfera akan menjadi suatu yang luar biasa, para pemain sentiasa bersedia untuk memberikan aksi terbaik, saya fikir kami akan benar-benar memberikan kesukaran pada aksi kali ini,” jelasnya. – AGENSI