2 pelajar dipaksa tanggal pakaian depan kamera

Geli telanjang33 scaled

Dua pelajar perempuan menuntut keadilan di Bangkok. – Foto Matichon

BANGKOK  – Dua pelajar perempuan sebuah kolej vokasional di Bangkok, Thailand menuntut keadilan selepas diserang secara fizikal oleh tiga rakan sekelas dan dipaksa menanggalkan pakaian di hadapan kamera, lapor portal berita Thaiger semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai A berusia 18 tahun dan B berumur 16 tahun,  menghubungi pesohor media sosial, Guntouch ‘Gun’ Pongpaiboonwet untuk mendapatkan bantuan.

Ini kerana mereka bimbang tidak akan mendapat keadilan selepas memfailkan aduan di Balai Polis Bang Mod.

Kejadian itu berlaku di sebuah rumah pada 7 Oktober lalu. Mereka dijemput menghadiri satu majlis hari jadi oleh tiga rakan sekelas,  namun diminta singgah di rumah tersebut terlebih dahulu.

Sebaik tiba, mereka menemui 10 lagi rakan sekelas di rumah berkenaan termasuk pelajar lelaki.

Tiga rakan sekelas itu mula menyerang dengan menendang mereka berkali-kali di muka dan bahagian badan lain, manakala rakan sekelas lain merekodkan serangan tersebut.

Salah seorang penyerang dilaporkan berkata: “Anda mempunyai dua pilihan iaitu tanggalkan coli atau seluar dalam anda. Pilih satu.”

Mangsa berkata, mereka memilih untuk menanggalkan coli dan beberapa pelajar lelaki merakamkan gambar dan video mereka.

Walaupun memfailkan aduan, kedua-dua mangsa terus berdepan ugutan daripada kumpulan itu, manakala penyerang mendakwa bahawa mereka tidak takut dipenjarakan.

Disebabkan malu dengan kejadian itu, dua mangsa berkenaan mengambil keputusan berhenti dari kolej tersebut dan mendapatkan bantuan daripada pesohor media sosial dengan harapan dapat mempercepatkan siasatan polis. – AGENSI