Pencawang telekomunikasi KPM Ayer siap dalam tempoh sebulan

Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi

PETALING JAYA – Pencawang telekomunikasi di Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer molek, Melaka siap dalam tempoh sebulan untuk dimanfaatkan oleh pelajar, pensyarah dan penduduk sekitar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembinaan pencawang komunikasi itu adalah susulan lawatannya ke KPM Ayer Molek pada 15 Oktober lalu setelah menerima banyak aduan mengenai masalah capaian internet yang kritikal di kawasan itu.

“Alhamdulillah, semalam saya dimaklumkan oleh sahabat saya, Datuk Fairul Nizam Roslan Along, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Kerajaan Negeri Melaka bahawa struktur telekomunikasi baharu setinggi 30 meter kini telah siap dibina dalam tempoh sebulan.

“Kini dalam proses kerja-kerja akhir seperti sambungan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang dilaksanakan dan menara ini akan diserahkan kepada syarikat penyedia perkhidmatan, U Mobile dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau juga berharap capaian internet akan lebih lancar, bukan sahaja untuk kegunaan pelajar dan pensyarah KPM Ayer Molek tetapi juga untuk manfaat penduduk sekitar.

“Penghargaan saya kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan projek ini, termasuk pihak Kerajaan Negeri Melaka, pengurusan Mara, Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd., TNB dan U Mobile yang telah bekerjasama bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Mara amat komited dalam memastikan isu-isu kritikal seperti ini ditangani dengan segera demi kesejahteraan pelajar dan pembangunan pendidikan.

“Semoga usaha ini memberikan manfaat yang besar buat semua,” katanya.- https://amiminerals.org/