KPDN bagi harimau, buaya makan 300kg ayam dirampas guna logo palsu halal

daging makanan zoo

KPDN Melaka menyerahkan 300 kg ayam sejuk hasil rampasan kepasa pihak Zoo Melaka.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka hari ini menyerahkan kira-kira 300 kilogram (kg) ayam yang dirampas atas kesalahan penggunaan logo halal tidak sah kepada pihak Zoo Melaka.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, bekalan ayam tersebut merupakan antara tujuh barang kes bernilai keseluruhan RM88,155.30 yang dilupuskan pada hari ini setelah proses pendakwaan selesai dilakukan.

“Barangan mentah seperti ayam tidak dilupuskan begitu sahaja kerana ia boleh dimanfaatkan agensi-agensi tertentu seperti Zoo Melaka sebagai sumber makanan haiwan-haiwan karnivor.

“Rampasan barang ini membabitkan kesalahan penggunaan logo halal tidak sah melibatkan ekshibit 79 ekor dan 150 kg bahagian ayam sejuk beku, bersamaan 300 kg yang akan didermakan kepada Zoo Melaka,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Pelupusan KPDN Melaka, Krubong di sini, hari ini.

Jelasnya, aktiviti pelupusan itu adalah kali kelima yang dilakukan pada tahun ini melibatkan barangan lain termasuk sejumlah 1,025 unit barangan tiruan seperti wayar pengecas telefon, syampu, pakaian dan produk aksesori telefon.

“Kesemua barangan ini dilupuskan selepas mendapat arahan oleh mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, Zoo Melaka memerlukan hampir 50 kg sumber makanan mentah untuk keperluan haiwan karnivor seperti harimau, singa dan buaya.

“Dengan 300 kg ayam yang diterima hari ini ia boleh digunakan selama enam hari untuk haiwan-haiwan ini, jadi penerimaan ini sedikit sebanyak mengurangkan kos makanan haiwan di Zoo Melaka.

“Secara keseluruhan kita membelanjakan kira-kira RM3 juta setahun untuk membeli makanan haiwan, bagi barangan mentah bagi haiwan karnivor pula dianggarkan hampir RM200,000 setahun,” katanya. – https://amiminerals.org/