Peragut toreh lengan wanita, samun RM500 di Klang

WhatsApp Image 2024 11 21 at 17.02.45

Tangkap layar suspek turut terlibat dalam kejadian ragut.

KLANG – Perbuatan jahat dua lelaki merompak dua beranak dan menoreh lengan salah seorang daripada mereka memakan diri selepas diberkas di sebuah rumah di Taman Sentosa Perdana di sini, baru-baru ini.

Penahanan ke atas lelaki tempatan berusia 25 tahun itu dibuat pada pukul 6.30 petang, 17 November lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 30 tahun yang kerugian RM500 selepas dirompak dua lelaki yang menunggang motosikal pada pukul 8.20 malam, Sabtu lalu.

Katanya, ketika kejadian wanita itu dan ibunya yang berusia 60 tahun sedagn berjalan menuju ke tempat letak kenderaan di Jalan Batu Nilam 4, Bandar Bukit Tinggi 1 di sini.

“Dua beranak itu kemudian didatangi dua lelaki bermotosikal lalu mengacukan pisau sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek menoreh lengan tangan mangsa dan jari kiri ibunya sebelum melarikan beg tangan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran kejadian itu, dua beranak tersebut menerima lima hingga 10 jahitan dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini.

Semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod dadah dan satu kes jenayah.

“Suspek direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan rompakan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan,”katanya.

Suspek juga terlibat dalam kes ragut yang tular baru-baru ini di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Daerah Klang Utara. -KOSMO!ONLINE