KAJANG – “Saya pernah diugut dan diancam oleh pelajar saya sendiri”.
Demikian kata, Fauzan Arieff Jalaludin, 38, ketika meceritakan pengalamannya sewaktu berkhidmat sebagai Ketua Guru Disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perimbun, di sini.
“Pada waktu itu, pelajar ini ugut saya untuk ajak bergaduh gara-gara tidak puas hati. Tapi dengan kerjasama guru lain, mereka bantu saya dengan menjadi pemerhati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Bagaimanapun, hubungan saya dengan pelajar tersebut kembali pulih apabila dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
“Dia ada datang jumpa saya dan minta maaf,”katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada Hari Anugerah Kualiti dan Apresiasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat 2024 di Dewan Seri Cempaka, di sini hari ini.
Fauzan yang berkhidmat sebagai ketua guru disiplin di SMK Perimbun dari 2021 sehingga September 2024 merupakan penerima Anugerah Ikon Guru Disiplin.
Mengulas lanjut, Fauzan berkata, di sebalik ketegasan dalam menjalankan tugas, dia sentiasa memegang prinsip hormat-menghormati bagi mendapatkan kepercayaan pelajar.
“Pelajar zaman dahulu lebih menghormati guru. Walaupun guru itu berdiri sahaja, kita akan rasa takut. Namun begitu, pelajar generasi sekarang ini berbeza. Kita masih kena tegas, tapi dalam masa sama, kena ada situasi menang-menang.
“Ini kerana, mereka lebih kepada lebih suka jadikan guru sebagai kawan. Jadi, saya sentiasa cuba dekatkan diri dengan mereka, namun apa yang kita laksanakan tetap mematuhi dasar dan peraturan sekolah,”jelasnya.
Dalam pada itu, kata Fauzan, disiplin merupakan aspek yang penting bagi setiap individu untuk mencapai sesuatu kejayaan yang diimpikan.
“Semua perkara memerlukan disiplin sebagai contoh dalam aspek pengurusan masa dan pemakaian.
“Setiap individu juga mesti ada prinsip dan peraturan. Kalau tiada, individu akan bergerak tanpa halu tuju. Sebab itu masalah disiplin di setiap sekolah berbeza-beza,”katanya.
Justeru, tambah Fauzan, dia berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan PPD berikutan pelaksanaan pelbagai program bagi mengatasi masalah disiplin pelajar.
“Selain itu, kerajsama antara pengetua sekolah dan unit disiplin juga penting dalam menetapkan pendirian dan mengeluarkan arahan,”katanya. – https://amiminerals.org/