MENERUSI Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan meletakkan Pembangunan Masyarakat Progresif sebagai satu daripada komponen penting inisiatif Anjakan Besar Pembudayaan Masyarakat MADANI.
Maka Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil inisiatif untuk memperkasa dan memperkukuhkan peranan Rukun Tetangga (RT) sebagai Penggerak Komuniti Progresif.
Ia mampu dicapai melalui keberdayaan ekonomi, ketahanan, kebersamaan, pengupayaan dan daya kepimpinan komuniti, tadbir urus, tatakelola yang cekap, serta kerjasama strategik yang kondusif antara pelbagai pihak.
Sejak penubuhannya, kelestarian RT sebagai pemacu dalam komuniti kejiranan telah terbukti memberi impak yang signifikan dalam membantu usaha kerajaan membangunkan komuniti setempat.
Ia mencakupi pelbagai aspek seperti pengukuhan semangat kejiranan, keselamatan, pembelajaran sepanjang hayat, ekonomi dan kesejahteraan hidup komuniti.
Bermula dengan konsep keselamatan pada tahun 1975, peranan RT telah ditransformasikan seiring dengan cabaran dan keperluan semasa masyarakat serta negara.
Pada 1983, kerajaan memperkenalkan konsep kejiranan untuk menjadikan RT sebagai tapak integrasi dalam kehidupan bermasyarakat, khususnya di kawasan bandar dan perumahan.
Seterusnya pada tahun 2000, RT Alaf Baru telah diperkenalkan melalui konsep pembangunan komuniti yang memberi fokus kepada pengupayaan komuniti melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk berhadapan dengan perubahan gaya hidup dan isu-isu sosial semasa.
Selaras dengan penubuhan KPN pada 10 Mac 2020, Kementerian telah menyediakan gerak kerja RT yang lebih jelas, komprehensif dan inklusif dengan memfokuskan peranan RT melalui empat gerak kerja komuniti, iaitu Gerak Kerja Komuniti Sejahtera; Gerak Kerja Komuniti Selamat; Gerak Kerja Komuniti Sihat; serta Gerak Kerja Komuniti Bersih dan Indah.
Inisiatif ini bertujuan untuk mendukung hasrat kerajaan menjadikan RT sebagai entiti yang penting dan inklusif, serta berupaya menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti.
Antara inisiatif Kementerian bagi mencapai matlamat tersebut adalah dengan memperkasakan peranan RT sebagai penggerak komuniti progresif.
Sebanyak lapan bidang tumpuan telah ditetapkan untuk menjadikan RT sebagai entiti yang penting dan inklusif serta berupaya membangun komuniti progresif, iaitu Ekonomi dan Sara Hidup; Keselamatan dan Ketahanan Komuniti; Kepimpinan; Kesejahteraan Komuniti; Pembelajaran Sepanjang Hayat; Alam Sekitar, Warisan dan Budaya; serta Daya Cipta.
Inisiatif Rukun Tetangga Progresif merangkumi tiga fasa pelaksanaan.
Fasa 1 bermula pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2024.
Pelan Tindakan Pemerkasaan RT telah dibangunkan sebagai gerak kerja membangun komuniti progresif. Daripada 8,438 RT di seluruh negara, sekurang-kurangnya 116 RT diperkasakan sebagai Model RT Progresif.
Bagi fasa 2 tahun depan, sekurang-kurangnya 300 RT akan diperkasakan atau dimodelkan sebagai RT Progresif.
Untuk fasa 3 bermula 2026 dan seterusnya, Inisiatif Pemerkasaan RT dicadangkan diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan dilaksanakan secara berterusan.
KPN juga akan memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor swasta/korporat untuk menjadikan RT Progresif sebagai ‘Komuniti Angkat’.
Kerajaan turut berhasrat membangunkan sekurang-kurangnya satu RT Progresif di setiap negeri sebagai model/pusat rujukan dalam aspek kesukarelawanan, pembangunan dan penyatuan komuniti, serta melaksanakan projek ekonomi berimpak tinggi bersama mereka.
Pemerkasaan RT Sebagai Penggerak Komuniti Progresif merupakan suatu inisiatif dan komitmen Kementerian melalui JPNIN untuk memperkukuhkan lagi peranan RT sebagai jentera perpaduan di peringkat komuniti dalam pembangunan masyarakat progresif yang menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkatkan inklusiviti, kemakmuran dan merintis jalan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih sejahtera dan mampan.