‘Cik Sianida’ dihukum mati

pembunuh sianida

Polis menahan Sararat di Bangkok pada April 2023. – EPA

BANGKOK – Seorang pembunuh bersiri di Thailand dijatuhi hukuman mati selepas meracuni seorang rakannya dan dalam masa sama, dia berdepan sejumlah pertuduhan membunuh yang lain, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Sararat Rangsiwuthaporn, 36, digelar ‘Cik Sianida’ selepas dia dituduh meracuni 14 rakannya menggunakan bahan kimia maut itu selepas berhutang kepada mereka.

Sebuah mahkamah di Bangkok semalam mendapati tertuduh bersalah kerana meletakkan racun dalam makanan dan minuman milik salah seorang mangsanya, Siriporn Khanwong.

Tertuduh dan mangsa melawat wilayah Ratchaburi bersama-sama pada April 2023 untuk melepaskan ikan ke jeti dan makan tengah hari.

Namun, beberapa saat selepas menikmati makanan, mangsa rebah dan mati di tebing sebatang sungai ketika suspek memerhatikan dia bergelut, kata polis.

Bedah siasat yang dilakukan polis mendapati mangsa keracunan sianida.

Selepas mengumpulkan bukti, polis menahan tertuduh pada Mei 2023 dan dia didakwa dengan 14 pertuduhan membunuh sejak 2015. Seorang pegawai polis berkata, sianida digunakan dalam setiap kes pembunuhan itu.

Menurut polis, mereka yang terbunuh termasuk rakan, bekas rakan kongsi dan pegawai polis yang dikenali tertuduh.

Sebanyak 12 mangsa ialah wanita dan dua lelaki. Seorang daripada mereka bagaimanapun terselamat.

Sepanjang perbicaraan, tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya, namun mengaku menggunakan sianida, demikian menurut  agensi berita Reuters yang  memetik kenyataan polis.

Tertuduh turut diarah membayar pampasan berjumlah dua juta baht (RM260,000) kepada keluarga mangsa.

Polis percaya pembunuhan itu bermotifkan kewangan selepas tertuduh mula mengumpul hutang kad kredit yang banyak kerana terlibat dalam perjudian. – AGENSI