AS dakwa bilionair India merasuah pegawai kerajaan

Adani scaled

Gautam Adani. – AFP

NEW DELHI – Bilionair India, Gautam Adani berdepan dakwaan rasuah di Amerika Syarikat (AS)  di mana dia dituduh mendalangi skim sogokan berjumlah AS$250 juta (RM1.1 bilion) dan merahsiakan perkara tersebut bagi tujuan mendapatkan dana pelaburan di AS, lapor Perbadanan Penyiaran British.

Dakwaan jenayah itu difailkan semalam di New York. Ia merupakan tamparan terbaru kepada Adani, 62, yang merupakan antara orang terkaya di India dan memiliki empayar perniagaan daripada pelabuhan, lapangan terbang hinggalah kepada tenaga boleh diperbaharui.

Menurut kertas pertuduhan, Adani dan sebilangan eksekutif kanan konglomerat miliknya  bersetuju membayar wang sogokan kepada pegawai-pegawai  India untuk memenangi kontrak bagi syarikat tenaga boleh diperbaharui  yang dijangka  menjana keuntungan lebih  AS$2 bilion (RM8.9 bilion) dalam tempoh 20 tahun.

Konglomerat itu beroperasi dalam keadaan mencurigakan di AS sejak 2023, apabila sebuah syarikat berprofil tinggi menerbitkan laporan menuduh Adani melakukan penipuan. 

Dakwaan itu dinafikan Adani, namun mendorong penjualan saham konglomeratnya  secara besar-besaran.

Laporan siasatan rasuah itu berlarutan selama berbulan-bulan dengan pendakwa raya berkata, Washington mula menyiasat konglomerat tersebut pada 2022, dan mendapati siasatannya  terhalang.

Mereka mendakwa bahawa eksekutif-eksekutif  konglomerat itu mendapatkan AS$3 bilion (RM13.4 bilion) dalam bentuk pinjaman dan bon, termasuk daripada beberapa firma AS. Konglomerat itu berbuat demikian dengan berselindung di sebalik kenyataan palsu dan mengelirukan berkaitan  amalan dan polisi antirasuah serta laporan siasatan rasuahnya.

“Seperti yang didakwa, defendan mendalangi skim terperinci untuk merasuah pegawai kerajaan India bagi mendapatkan kontrak bernilai berbilion-bilion dolar. 

“Dia berbohong mengenai perkara itu  ketika mereka berusaha mendapatkan modal daripada pelabur AS dan antarabangsa,” kata Pendakwa raya  AS, Breon Peace ketika mengumumkan pertuduhan terhadap Adani.

Adani ialah sekutu rapat Perdana Menteri India, Narendra Modi. Dia telah lama berdepan dakwaan oleh ahli-ahli politik pembangkang yang menuduhnya mendapat manfaat daripada hubungan politik tersebut. Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan oleh Adani. – AGENSI