Suraya bantu ‘gali’ potensi usahawan

Suraya2ddss

URAYA telah memulakan kerjaya sebagai jurulatih perniagaan pada 2014 bagi mencungkil potensi usahawan.

KEMAHUAN berkongsi ilmu dan melahirkan lebih ramai usahawan telah mendorong wanita ini menjadikan jurulatih perniagaan sebagai kerjayanya sejak sedekad lalu.

Suraya Ali, 38, cukup dikenali dalam kalangan individu yang ingin terlibat secara serius dalam bidang perniagaan.

Jadi tidak hairan, Suraya bergelar Master Trainer eUsahawan bersama Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), penerima Anugerah Jurulatih Paling Popular di Media Sosial pada 2018, selain pernah dicalonkan sebagai

Top 30 Women Entepreneurs Southeast Asia oleh majalah, SME Magazine pada 2013.

Lebih menarik, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, Suraya atau lebih dikenali sebagai Cik Sue memanfaatkan masa dengan berkongsi ilmu keusahawanan dan pemasaran secara dalam talian.

Jelasnya, dia sebelum ini memulakan perniagaan pam susu dan keperluan bayi asuhan secara dalam talian pada 2008.

Menurutnya, dia memulakan karier sebagai jurulatih perniagaan pada 2014 kerana suka menerangkan sesuatu.

“Sejak kecil, saya memiliki kebolehan bercakap, menulis dan menerangkan sesuatu dengan cara tersendiri.

“Kelebihan ini saya gunakan sebaik mungkin dalam membantu lebih ramai usahawan.

“Minat dalam dunia pemasaran digital dan pengalaman yang ada menjadikan kerjaya saya semakin mudah,” katanya kepada Aura.

Suraya1ddd
SURAYA

Tambahnya, kerjaya sebagai jurulatih perniagaan memerlukannya sentiasa bersama dengan usahawan.

Ujarnya, jurulatih perniagaan berfungsi membantu mengeluarkan kekuatan sama ada personaliti mahupun idea daripada individu dilatih.

“Saya ini bagaikan individu tambahan (partner) dalam syarikat yang akan menguji usahawan dengan soalan dan idea lain, selain ‘menggali’ apa yang usahawan mahu lakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, ujarnya, seorang jurulatih perniagaan yang baik mampu membuat penyampaian di dalam kelas dan dirasai keikhlasannya oleh peserta.

“Seperti penghibur, kelas yang dikendalikan adalah pentas kita.

“Kemampuan mengawal individu yang penuh dengan idea luar biasa dan tidak suka dikawal adalah kebolehan penting jurulatih perniagaan ketika di dalam kelas.

“Saya percaya dengan kelebihan setiap individu.

“Apabila kekuatannya didorong dan diketengahkan, usahawan lebih yakin untuk mencapai satu demi satu kejayaan dalam perniagaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Suraya berkata, usahawan perlu sentiasa peka dengan perubahan yang bakal berlaku dan itu merupakan salah satu cabaran buat mereka.

“PKP mempercepat tindakan kita yang selama ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk berubah,” ujarnya.

Dia turut menasihatkan usahawan memanfaatkan sebaik mungkin platform dalam talian kerana ia dapat tersebar dengan lebih cepat.

“Perniagaan adalah ibadah, jadi guna media sosial untuk berkongsi ilmu yang kita miliki bagi membantu menyelesaikan masalah orang lain.

“Oleh itu, berkongsilah,” ungkapnya penuh makna.