PETALING JAYA – Penyanyi Dayang Nurfaizah menzahirkan rasa sedih apabila penulis lirik lagu baharunya Mencintai Cinta ‘pergi’ sebelum sempat karya sentuhan komposer Ajai itu dirakamkan.
Dayang atau nama lengkapnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, berkata, lagu yang liriknya ditulis Allahyarham Iman Imran itu sepatutnya dirakamkan dua tahun lalu, namun dia terpaksa menangguhkan kerja rakaman disebabkan kurang sihat.
“Saya sudah masuk studio walaupun ketika itu tidak sihat. Namun saya gagahkan juga rakamkan Mencintai Cinta tetapi apabila dengar balik rakaman, Ajai tidak berpuas hati dan minta saya pulang.
“Rupa-rupanya saya positif Covid-19. Sedihnya adalah penulis lirik Mencintai Cinta yang juga teman baik saya, Iman Imran pergi dulu dua hari selepas penangguhan rakaman lagu itu.
“Allahyarham yang berjuang melawan kanser sebelum ini kerap bertanya bila rakaman mahu dijalankan. Dia takut tak sempat. Nyata Allah lebih menyayangi arwah. Album ini saya dedikasikan untuk beliau,”katanya selepas pra dengar album Janji di sini, semalam.
Mencintai Cinta adalah antara 13 dendangan dimuatkan dalam album ke-11 penyanyi asal Kuching, Sarawak itu yang bakal meraikan ulang tahun jubli intan dalam industri muzik.
Menurut Dayang, proses rakaman lagu yang hanya dapat disambung pada September lalu iaitu selepas dua tahun Allahyarham meninggal dunia cukup mencabar.
Katanya, dia terpaksa mengalihkan perhatian terhadap perkara lain bagi mengelakkan dirinya beremosi ketika proses rakaman lagu terbabit berlangsung.
“Sejujurnya saya tak mahu pun membayangkan wajah arwah sebab tahu saya akan menangis apatah lagi sebelum ini beliau menemani saya dalam studio seperti untuk lagu Lelaki Teragung dan Dipintu Syurga.
“Lebih menghibakan beliau menghembuskan nafas terakhir dua hari selepas kerja rakaman ditangguhkan pada tahun 2020. Jadi apabila masuk semula studio, saya terkenangkan allahyarham,”ujarnya.
Kepiluan Dayang kehilangan sahabatnya tidak tertanggung apabila gagal menahan sebak ketika Mencintai Cinta diperdengarkan pada sesi bersama media itu.
Pada masa sama, Janji juga berkemungkinan besar menjadi album fizikal terakhir penyanyi bersuara gemersik itu.
“Kami keluarkan album fizikal ini sebagai momento untuk peminat setia yang teruja menyimpan koleksi album dalam bentuk cakera padat.
“Namun seiring peredaran masa, tidak banyak syarikat pengeluar yang menghasilkan CD, jadi ini antara penyebab mungkin kita tak dapat hasilkan fizikal album selepas ini,”katanya.
Terdahulu, lagu nukilan Iman atau nama sebenarnya Rudy Imran Shamsudin yang dicipta Natasha turut menjulang mana Dayang sebaik dinobatkan sebagai penerima Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31).
Iman juga wartawan hiburan menghembuskan nafas terakhir di usia 47 tahun akibat kanser usus pada 31 Mac 2022. – https://amiminerals.org/