Pisang melekat di dinding bernilai lebih RM4 juta

pisang

Pengunjung melihat Comedian semasa majlis pratonton media di Sotheby\’s New York pada 25 Oktober lalu. – AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Sebuah karya seni yang memaparkan sebiji pisang ditampal di dinding akan dijual dalam satu acara lelongan pada harga dijangka melebihi AS$1 juta (RM4.4 juta), lapor laman berita My North West.

Karya artis Itali, Maurizio Cattelan yang diberi nama Comedian itu membuat penampilan sulung pada 2019 semasa Pameran Art Basel Miami Beach.

Ia kemudian menjadi sensasi internet dan tajuk-tajuk berita apabila karya tersebut dianggap seni luar biasa meskipun hanya menampilkan sebiji pisang yang ditampal dengan pita pelekat.

Pisang asal yang dipamerkan dilaporkan telah dimakan oleh seorang artis seni lain, manakala buah dan pita pelekat itu kerap diganti dengan yang baharu.

Kini, karya seni konseptual yang mempunyai anggaran nilai antara AS$1 juta (RM4.4 juta) hingga AS$1.5 juta (RM6.7 juta) pada lelongan Sotheby’s pada 20 November. 

Ketua Seni Kontemporari Sotheby’s, David Galperin menyebutnya sebagai karya mendalam dan provokatif.

“Apa yang sebenarnya dilakukan oleh Cattelan adalah mengubah cermin kepada dunia seni kontemporari dan bertanya soalan. 

“Ia mencetuskan pemikiran tentang cara kami memberi nilai kepada karya seni dan apa yang kami takrifkan sebagai karya seni,” kata Galperin.

Tambahnya, apa yang pembeli dapat semasa membeli Comedia bukanlah pisang itu sendiri. 

“Ia sebaliknya ‘sijil ketulenan’ yang memberikan kebenaran dan kuasa kepada pemilik untuk menghasilkan semula pisang dan pita pelekat ini di dinding mereka sebagai karya seni asli oleh Maurizio Cattelan,” jelas Galperin. – AGENSI