Nyawa melayang gara-gara kenyit mata pada isteri orang

gari 2 1

Motif pembunuhan adalah cemburu. – Gambar hiasan

JAKARTA – Seorang lelaki di Aceh Tengah, wilayah Aceh menetak leher jirannya sehingga hampir putus gara-gara cemburu mangsa mengenyit mata kepada isterinya, lapor laman berita Tribunnews hari ini.

Kejadian berlaku pada Sabtu lalu sekitar pukul 8.30 pagi (waktu tempatan).

Dalam kejadian itu, pegawai pemerintah dikenali sebagai Ridwan, 52, menetak leher mangsa, Risdian, 50, di hadapan rumah mereka.

Mangsa ketika itu sedang menjemur biji kopi apabila dia didekati oleh isteri suspek.

Menurut seorang saksi, isteri suspek menegur mangsa dan berkata: “Mengapa awak mengenyit mata kepada saya?”

Pertanyaan itu mencetuskan kemarahan suspek yang difahamkan sudah lama berasa cemburu terhadap mangsa.

Dia dengan pantas mengambil sebilah parang lalu menyerang mangsa secara membuta tuli dengan menetak lehernya.

“Suspek menetak leher mangsa beberapa kali hingga hampir putus. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Aceh Tengah, Inspektor Deno Wahyudi.

Tambah Deno, motif pembunuhan adalah cemburu, manakala suspek telah diberkas. – AGENSI