Pandu BMW bapa 210 kilometer sejam rempuh rumah

bmw rempuh

Kereta BMW yang dipandu oleh Samin merempuh bahagian hadapan rumah berkenaan. – SWNS/Polis Sussex

LONDON  – Seorang remaja digantung lesen selama dua tahun selepas memandu sebuah kereta BMW pada kelajuan 210 kilometer sejam (km/j) sebelum merempuh sebuah rumah, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Samin Ahmed, 19, merempuh ruang tamu sebuah kediaman di Sussex, Britain dalam kemalangan pada Februari lalu.

Dia sebelum itu dilaporkan cuba memotong tiga buah kenderaan, menyebabkab kereta peronda polis mengejarnya.

Tertuduh kemudian memecut pada kelajuan mencecah 210 km/j di jalan yang mempunyai had laju 80 km/j.

Dia bagaimanapun hilang kawalan dan merempuh bahagian hadapan rumah berkenaan, menyebabkan pemilik rumah menanggung kerugian £357,000 (RM2 juta).

Samin mengaku bersalah memandu secara berbahaya dan menyebabkan kerosakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketika sesi perbicaraan di Mahkamah Mahkota  Lewes pada 7 November lalu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara tertangguh selama 18 bulan dan dia mesti melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 250 jam. – AGENSI