BANGI – Sumbangan besar dalam program sukarelawan sejak enam tahun lalu melayakkan Badrul Jamili Kamaruddin, 49, menerima Anugerah Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cemerlang Peringkat Kebangsaan kelmarin.
Badrul yang juga Pengasas Pertubuhan Dapur Infaq Ummah turut dianugerahkan Anugerah Sukarelawan JKM Terbaik Peringkat Negeri Pahang.
Mengulas mengenai aktiviti sukarelawan, Badrul memberitahu, penglibatan awal sebagai sukarelawan bermula dengan program memberi makanan percuma kepada golongan yang memerlukan.
“Rentetan daripada itu saya telah membina rumah makan percuma di Kuantan, Pahang yang memberi makan percuma setiap hari.
“Kini, kerja-kerja sukarelawan telah dikembangkan termasuk melaksanakan pelbagai program berkaitan kebajikan dan pembangunan komuniti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Sukarelawan JKM 2024 di sini malam semalam.
Badrulberkata, antara projek yang sedang dilaksanakan pada ketika ini ialah pembangunan komuniti untuk golongan rentan dan gelandangan di Kuantan.
Terdahulu, Badrul menerima anugerah daripada Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan. Beliau membawa pulang hadiah bernilai RM1,000 dan RM5,000 beserta sijil dan trofi.
Sementara itu, Che Murad berkata, penglibatan sukarelawan dapat meningkatkan kekuatan dan keupayaan individu serta komuniti untuk memberi sokongan kepada golongan memerlukan.
“Aktiviti kesukarelawanan melalui Program Pembangunan Komuniti juga dapat memberi kemahiran kepada kumpulan sasar supaya mereka boleh berdikari,” ujarnya. – https://amiminerals.org/