Kena denda RM10,000 jual ayam goreng kunyit RM20 di Langkawi

WhatsApp Image 2024 11 20 at 3.35.07 PM

Kompleks Mahkamah Langkawi.

LANGKAWI – Seorang pemilik restoran didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal menyimpan resit dan menyenggara rekod jualan seperti dikehendaki Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tertuduh, Asyuni Mastura Basri, 22, mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Allan Suman Pillai.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara 12 bulan jika gagal membayar denda ditetapkan. Tertuduh membayar denda dikenakan.

Mengikut pertuduhan, dia yang merupakan pemilik premis di Jalan Pantai Chenang, di sini didakwa gagal menyimpan resit dan menyenggara rekod jualan dari Januari 2021 hingga 30 November 2023.

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 53A(3) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengikut fakta kes, premis tersebut yang dimiliki tertuduh menjual masakan ayam goreng kunyit RM20 kepada orang awam dan isu itu tular di media sosial selepas dimuat naik pengadu pada 14 Januari lalu.

Selepas siasatan dibuat, tertuduh gagal mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengemukakan invois jualan dan belian produk.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Mohamad Hezrin Abd Wahab, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – https://amiminerals.org/