BENTONG – Gara-gara terganggu dengan bunyi ekzos motosikal seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila menyerang seorang pemuda dengan sebilah pisau di sebuah bengkel motosikal di Karak kelmarin.
Bagaimanapun tindakan suspek berusia 52 tahun yang turut tular dalam satu rakaman video membawa padah apabila dia ditahan pihak polis semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek ditahan di kediamannya di Karak dekat sini kira-kira pukul 12.45 tengah malam semalam dan polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek.
“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan dan suspek kini masih dalam tahanan reman pihak polis sehingga 21 November ini untuk siasatan lanjut.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya setelah siasatan selesai dilakukan,”katanya di sini hari ini.
Semalam tular dalam rakaman video berdurasi tiga minit 28 saat yang memaparkan kejadian pergaduhan yang berlaku di sebuah bengkel motosikal di Pekan, Karak di sini.
Dalam rakaman video berkenaan memaparkan berlaku pertengkaran antara suspek dan seorang pemuda sebelum berlaku pergaduhan dan suspek telah mengeluarkan sebilah pisau yang dibawanya untuk menyerang.
Dalam pada itu Zaiham berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek berasa terganggu dengan bunyi bising ekzos motosikal yang ditunggang mangsa.
“Polis memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes dalam siasatan pihak polis,”ujarnya.- https://amiminerals.org/