Pihak tuduh kerajaan, PM sokong Israel akan dikenakan tindakan tegas

Saifuddin.

Saifuddin.

BANDAR BAHARU – Mana-mana pihak yang terus membuat tuduhan melampau kononnya kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong Israel akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua sudah sedia maklum tentang pendirian Malaysia terhadap Israel, namun masih ada yang menuduh Perdana Menteri menyokong rejim itu.

Katanya, beliau percaya pihak yang membuat tuduhan itu mahu mendapatkan keuntungan politik dengan harapan rakyat tidak perlu menyokong kerajaan.

“Nak sebut Perdana Menteri sokong Israel masuk akal atau tidak? Dia seorang pemimpin Muslim, pendirian sejak dua tahun di semua pentas antarabangsa dan berjumpa pemimpin dunia yang dilihat condong kepada Israel diberi penegasan menolak sama sekali tindakan Israel.

“Namun begitu masih ada sebut Anwar Ibrahim sokong Israel, iktiraf Israel. Kalau yang buat itu pula berlapik di bawah label parti Islam amat malanglah. Takkan sampai tak boleh menilai langsung sebab ia hanya untuk dapat keuntungan politik,”katanya selepas Majlis Peluncuran Kempen Anti Dadah di Sekolah peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, di sini hari ini.

Beliau pada masa sama meminta pihak yang terlibat menghentikan tuduhan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia terus dilakukan secara berlebihan.

Pada semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal konsisten dengan pendirian terhadap isu Israel dan Palestin serta menekankan Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan Israel secara diplomatik.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak menghantar pegawai kedutaan atau menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sebagai langkah protes terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin.

Tambah Anwar, Malaysia tetap komited dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan dalam banyak forum antarabangsa termasuk sidang di Riyadh ke APEC kali ini, Malaysia tidak pernah berhenti menyuarakan tentangan terhadap penjajahan dan kezaliman dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin mengalu-alukan pandangan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata, pindaan itu belum dimuktamadkan kerana satu sesi libat urus akan dilaksanakan oleh kementerian melibatkan pemegang taruh dalam perundangan itu. – https://amiminerals.org/