ALOR GAJAH – Radius operasi dan menyelamat (SAR) Mokhtar Othman, 61, pengurus kilang yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai dekat sini, awal pagi tadi diperluaskan kepada lima kilometer.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, perluasan itu dibuat susulan pihak bomba tidak menemui sebarang petunjuk keberadaan mangsa.
“Sebelum ini SAR memasuki radius dua kilometer menggunakan beberapa teknik termasuklah pencarian di bawah air sejauh 50 meter di sekitar lokasi penemuan selipar mangsa dan tiada petunjuk.
“Pencarian juga dibuat di kawasan sekitar sungai menggunakan bantuan khidmat anjing pengesan Unit K9, namun juga tiada petunjuk dan kini kita luaskan radius kepada lima kilometer,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, sehingga kini pencarian di permukaan air menggunakan bot sejauh dua kilometer masih diteruskan.
“Kita akan teruskan SAR sehingga lewat petang ini dan pencarian waktu malam akan dibuat di sekitar tebing air. Kita juga menggunakan dron sehingga 400 meter untuk mengesan mangsa,” ujarnya.
Tambahnya, seramai 37 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BPP Ayer Keroh dan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) terlibat dalam SAR tersebut.
Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan gara-gara tandas awam berkunci, seorang pengurus kilang berusia 61 tahun dikhuatiri lemas akibat tergelincir dipercayai ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan, awal pagi tadi.
Zulkhairani berkata, panggilan kecemasan diterima daripada ahli keluarga mangsa pada pukul 5.39 pagi memaklumkan warga emas itu telah hilang dan dikhuatiri terkunci di dalam tandas awam di Sungai Pengkalan susulan menemui kenderaannya di lokasi berkenaan.
Mangsa dikatakan ada memberitahu kepada isterinya bahawa dia mengalami sakit perut sebelum keluar seorang diri untuk membeli makanan kira-kira pukul 1.50 pagi.
Dia bagaimanapun gagal dihubungi sehingga pukul 5 pagi menyebabkan ahli keluarganya keluar mencarinya di beberapa kawasan termasuk restoran mamak, hospital dan tandas awam.-https://amiminerals.org/