Inisiatif Pernas untuk pesara, veteran

Pernas1

TENGKU MOHAMED FADHLI optimis program I-VIP bakal menerima sambutan menggalakkan.

KUALA LUMPUR – Faktor usia bukan penghalang untuk memulakan perniagaan. Pengalaman hidup, kemahiran kerja dan pengetahuan mendalam tentang industri boleh menjadi aset penting buat golo­ngan ini berjaya dalam bisnes diceburi.

Tambahan pula dalam suasana ekonomi hari ini, tahap simpanan lebih banyak diperlukan untuk membolehkan rakyat Malaysia bersara dengan selesa, antara faktor yang menjadi pertimbangan buat pesara adalah dengan menceburi bidang perniagaan setelah pencen daripada makan gaji.

Selain itu, terdapat juga kumpulan yang memilih untuk mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atau Skim Pemisahan Bersama (MSS) daripada majikan masing-masing, dan mereka ini sering melihat perniagaan sebagai peluang untuk mencipta kehidupan baharu selepas meninggalkan kerjaya asal.

Melihat kepada keperluan dan permintaan yang wujud di pasaran, peneraju industri francais Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) telah memperkenalkan program Inisiatif Keusahawanan Veteran & Pembiayaan (I-VIP).

Ia menyasarkan kepada golongan veteran atau pesara bumiputera yang ingin menceburi bidang keusahawanan, terutamanya dalam perniagaan francais.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah berkata, I-VIP merupakan platform untuk memperkasa usahawan dalam kalangan pesara dan veteran menerusi penyediaan bantuan pembiayaan, latihan, khidmat nasihat serta konsultasi.

Jelasnya, menerusi peruntukan berjumlah RM3 juta tersedia sehingga Julai 2025, inisiatif tersebut menyasarkan untuk mewujudkan lebih 200 usahawan dalam kala­ngan veteran dan pesara serta lebih 300 peluang pekerjaan.

Pernas turut berhasrat untuk melahirkan tiga buah syarikat francaisor menerusi I-VIP.

Pernas2
Keprihatinan Pernas membantu golongan pesara dan mereka yang berusia 41 tahun ke atas untuk memulakan perniagaan sendiri.

“I-VIP telah dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Be­nedick pada Karnival Pernas di Sabah International Convention Centre (SICC) pada September lalu.

“Sejak pelancarannya, program ini telah mendapat sambutan baik, yang mana lebih 20 permohonan telah diterima dan sedang dipro­ses, dengan tiga daripadanya sudah pun diluluskan,” katanya kepada pemberita dalam sesi temu bual yang diadakan di Menara Pernas, di sini baru-baru ini.

Menurut Tengku Mohamed Fadhli, kriteria bagi peserta program I-VIP adalah bumiputera berusia antara 41 tahun hingga 65 tahun, yang mana pemilik perniagaan dan pemegang saham perlu memiliki rekod kredit yang baik serta tidak diisytihar muflis.

Selain itu, mereka juga mestilah seorang pesara sama ada daripada badan beruniform, kerajaan dan sektor swasta atau yang mengambil VSS/MSS.

Sementara bagi syarikat, kriterianya adalah status sendirian berhad, perkongsian atau milikan tunggal; bebas daripada sebarang tindakan undang-undang dan tidak diisytiharkan muflis dan pesara/veteran mesti memegang sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham dalam syarikat.

Kriteria perniagaan pula adalah ia telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun; patuh syariah; dan jenama perniagaan berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Antara skop yang ditawarkan program ini termasuk pembiayaan perniagaan dengan margin sehingga 90 peratus bernilai antara RM20,000 hingga RM500,000 bagi tempoh lima hingga 10 tahun.

“Kadar pembiayaan disediakan adalah sangat kompetitif pada empat peratus baki berkurangan. Kami mampu memberikan margin pembiayaan menarik kerana peruntukan bagi program ini datang daripada kerajaan untuk membantu usahawan.

“Semua pembiayaan yang disediakan Pernas adalah patuh syariah.

Pernas3
Peserta program I-VIP bakal memperoleh pelbagai manfaat daripada dana hingga latihan berniaga. – Gambar hiasan

“Namun, oleh kerana dana yang disediakan agak terhad, kami bercadang sejumlah RM2.5 juta daripadanya diperuntukkan untuk ­penyediaan pembiayaan, manakala baki RM500,000 adalah untuk penyediaan latihan, khidmat nasihat dan konsultasi.

“Jadi, bukan semua peserta program ini akan beroleh pembiayaan, terdapat sebahagian besar daripada mereka menerima manfaat dari segi latihan, khidmat nasihat dan konsultasi untuk mempersiapkan diri sebelum menceburi bidang keusahawanan, atau menambah baik bisnes sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Mohamed Fadhli optimis sekiranya I-VIP mendapat permintaan yang sangat baik dan penyertaan menggalakkan, Pernas boleh menyampaikan kisah kejayaan program ini kepada kerajaan supaya ia boleh ditambah baik terutamanya dari segi pendanaan.

“Kami berharap peruntukan untuk I-VIP boleh dinaikkan pada tahun-tahun mendatang,” ujarnya.

Bagi menjayakan program ber­kenaan, Pernas turut menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat lokal dengan jenama yang menarik dan berdaya saing, jadi bakal usahawan boleh belajar dengan lebih mendalam dan merasai sendiri pengalaman mengoperasikan bisnes.

“Antaranya ialah konsep perniagaan gunting rambut, iaitu Matsaleh Barber yang berasal dari Pulau Pinang, yang mana peserta program boleh menyertai mereka untuk tempoh sebulan bagi
me­­n­ge­tahui lanjut tentang selok belok perniagaan.

“Selain itu, kami turut menjalin kerjasama dengan jenama Haos Ek? dari Johor dan terdapat perniagaan lain dari Kuching dan Kota Kinabalu. Kami cuba menyediakan konsep perniagaan di setiap kawasan berlainan seluruh negara untuk memudahkan peserta,” tambah Tengku Mohamed Fadhli.

Maklumat lanjut mengenai I-VIP boleh didapati di www.pernas.my, akaun rasmi pernasofficial di laman sosial Facebook, X, Instagram, TikTok dan LinkedIn atau imbas kod QR pada poster tertera.

Orang ramai juga boleh berhubung dengan pegawai perhubungan Pernas di talian 03-2082 7788.