LONDON – Pemilik-pemilik anjing di Yorkshire Selatan, United Kingdom (UK) digesa untuk bertindak segera susulan 13 insiden serangan melibatkan haiwan itu dicatatkan dalam masa kurang 48 jam, lapor laman berita Metro UK semalam.
Polis Yorkshire Selatan mengeluarkan amaran keras itu susulan insiden serangan anjing, termasuk terhadap seorang lelaki yang mengalami kecederaan muka yang serius.
Ia berlaku selepas Savannah Bentham yang berusia 10 tahun, dibunuh oleh anjing XL Bully milik keluarganya di Yorkshire Utara lebih seminggu lalu.
Ketua Inspektor, Emma Cheney berkata: “Baru-baru ini kami sedih melihat satu lagi insiden maut di UK yang disebabkan oleh anjing.
“Orang ramai fikir ia tidak akan berlaku kepada mereka dengan menganggap anjing mereka tidak akan menyebabkan bahaya. Namun, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Anda bertanggungjawab atas tindakan anjing anda dan kami terus menghadapkan pesalah (pemilik anjing) di mahkamah.”- AGENSI