Kerbau idaman ramai bernilai RM12 juta

kerbau mahal

Anmol menjalani diet bernutrisi tinggi yang ketat. – Times Now News

NEW DELHI – Seekor kerbau seberat 1,500 kilogram di Haryana dinilaikan pada harga 230 juta rupee (RM12 juta) disebabkan diet pemakanan yang diamalkan, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Kerbau jantan diberi nama Anmol itu sering dipamerkan pada acara pertanian utama seperti Pushkar Mela dan Pameran Peladang Seluruh India di Meerut baru-baru ini.

Ia mempunyai diet bernutrisi tinggi yang ketat untuk membantu mengekalkan kesihatannya dan menyokong pertumbuhan serta staminanya. 

Pemiliknya, Gill membelanjakan hampir 1,500 rupee (RM79) untuk makanan haiwan itu setiap hari, di mana ia diberi makan 250 gram badam, empat kilogram buah delima, 30 biji pisang, lima liter susu dan 20 biji telur setiap hari.

Selain makanan biasa, Anmol juga makan kek minyak, sayuran hijau, minyak sapi, kacang soya dan jagung. 

Bagi memastikan bulunya bersinar dan sihat, ia dimandikan dengan campuran minyak badam dan sawi.

Reputasi Anmol dalam komuniti pertanian membawa kepada beberapa tawaran untuk membeli haiwan itu daripada banyak pihak, sehingga ada yang menawarkan bayaran sebanyak 230 juta rupee.

Namun, Gill berkata, dia tidak berminat untuk menjual Anmol kerana haiwan itu sudah dianggap seperti keluarga. – AGENSI