PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu memendekkan lawatan rasminya ke luar negara semata-mata mahu menyelesaikan sesuatu isu dalam negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, tidak timbul isu berkenaan kerana Perdana Menteri boleh menjawab apa-apa isu dimana sahaja berada.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri akan kembali ke Malaysia Rabu depan dan ketika ini sedang dalam lawatan rasmi ke beberapa negara termasuk menghadiri sidang kemuncak ekonomi.
“Sudah pasti dalam zaman sekarang sekiranya perlu beliau (Perdana Menteri) boleh menjawab apa-apa isu atau pun memberi komen dan ia boleh dibuat dimana saja beliau berada,”katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan media sama ada Anwar perlu memendekkan siri lawatan beliau bagi menyelesaikan beberapa isu antaranya dakwaan rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Anwar kini dalam siri lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin sejak Rabu lalu.
Menteri Kewangan itu turut mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini. – https://amiminerals.org/