Terjah, sita dan dakwa kilang e-waste di Selangor

terjah

Suee Lim (duduk tiga kanan) bersama pegawai-pegawai PBT dan wakil-wakil pengusaha KTK pada sesi townhall tersebut. FOTO : AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan melakukan Op Terjah bersepadu terhadap mana-mana kilang haram memproses sisa ‘e-waste’ yang menyebabkan pencemaran sehingga menjejaskan kualiti hidup penduduk sekitar.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya mengakui memang wujud kilang sedemikian terutama di Telok Gong, Klang dan Kuala Langat yang beroperasi secara bersenyap di tanah pertanian.

Malah, katanya, terbaharu ada penguatkuasaan dan sitaan di sekitar Kuala Selangor.

“Tiada lesen dan mereka menyewa di tanah pertanian dan bekerja secara sorok-sorok yang kadangkala mengeluarkan bau menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk.

“Kalau haram tolong berhentikan aktiviti anda kerana tidak dibenarkan dan tiada lesen. Saya akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan Exco negeri berkaitan untuk melakukan terjah bersepadu terhadap kilang-kilang itu,”katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Townhall program pematuhan syarat dan penguatkuasaan kilang tanpa kebenaran (KTK) Selangor bagi Daerah Petaling dan Klang di sini, hari ini.

Justeru, Suee Lim telah mengarahkan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk turun memantau termasuk berdasarkan aduan yang diterima mereka.

“Saman, sita dan dakwa di mahkamah (bagi kilang e-waste haram ini),”katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 6,690 KTK di atas 5,352 lot tanah didapati masih beroperasi setakat data 12 PBT seluruh negeri sehingga Oktober lalu.

“Kita menyasarkan 60 peratus daripada jumlah itu dapat diputihkan selepas program ini dilanjutkan sebanyak tujuh kali sejak diperkenalkan sejak 2006.

“Cabarannya kita adalah penguatkuasaan kerana sebelum ini kita agak leka dan tidak bertindak serta tidak tegas.

“Namun kali ini, insentif yang baik kita berikan namun pada masa menjalankan penguatkuasaan dan yakin kaedah ini akan membuatkan ramai tampil ke hadapan,”katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan menyerahkan notis 7A atau 7B selain 8A bawah Kanun Tanah Negara yang membolehkan rampasan tanah susulan kedegilan pengusaha KTK.

“Kawasan paling banyak KTK ini adalah di Klang dan Shah Alam yang menyebabkan kerugian kutipan cukai RM150 juta,”jelasnya. – https://amiminerals.org/.