PETALING JAYA – Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi mencapai pertumbuhan inklusif, menangani jurang digital dan isu etika.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyatakan perkara itu pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Peru hari ini.
Menurut Anwar, beliau turut memaklumkan mengenai kerajaan Malaysia sedang mewujudkan kerangka yang memberi tumpuan kepada inovasi dan keterangkuman terkait AI.
“Dalam sesi dialog bersama pemain utama dalam industri teknologi dan digital, saya telah mengupas pandangan serta berkongsi dasar negara terkait peluang dan cabaran dalam revolusi AI.
“Saya turut menekankan keperluan melatih dan meningkatkan kemahiran profesional muda dalam bidang AI bagi menangani keperluan industri serta mempercepatkan kemajuan dan pendigitalan,”katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, pada sesi dialog berkenaan, beliau menegaskan terdapat keperluan pendekatan pelbagai aspek dalam penerapan AI termasuk pelaburan dalam tenaga hijau, pemuliharaan air dan reformasi peraturan birokrasi supaya lebih responsif kepada pelabur.
Justeru, katanya, adalah penting untuk bekerjasama menerusi ASEAN seperti inisiatif hijau ASEAN dan agenda digital bersama untuk melengkapkan kekuatan setiap negara dan menangani cabaran bersama.
Menurut beliau, Malaysia komited memacu pertumbuhan mampan termasuk semasa menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan menyeru kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan, industri serta komuniti.
Jelasnya, ia untuk membuka peluang dalam ruang digital serta memastikan tiada sesiapa tercicir dalam era kemajuan digital yang pesat.
“Sebagai konklusi, saya menegaskan walaupun akan ada gangguan dengan AI, namun kita mesti memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan dan latihan bagi mewujudkan syarat yang tepat untuk kejayaan di masa depan,”katanya. – https://amiminerals.org/