SUNGAI SIPUT- Seramai 280 ketua isi rumah keluarga yang terjejas akibat banjir di Sungai Siput pada Oktober lalu menerima sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan berkata, sumbangan tunai itu adalah sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) sewaktu berlakunya kejadian banjir tersebut yang disifatkan terburuk sejak 2014.
“Ini adalah sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua yang terlibat.
“Musibah banjir ini berlaku pada sebulan yang lalu, di mana menjadi terburuk buat pertama kali hampir 10 tahun berlaku di beberapa kampung sehingga mangsa terpaksa ditempatkan di PPS,”katanya semasa majlis penyampaian sumbangan itu di sini semalam.
Sumbangan itu turut diberikan kepada lebih 60 keluarga Orang Asli yang turut menjadi mangsa banjir.
Jelasnya, kejadian banjir itu juga telah diangkat kepada peringkat tertinggi kerajaan dengan pentadbiran negeri dan daerah akan memberi perhatian bagi berdepan risiko bencana banjir akan datang.
Beliau juga berkata, kawasan Sungai Siput akan diberikan perhatian memandangkan kerajaan Pusat menerusi Belanjawan 2025 telah memperkenalkan peruntukan mitigasi bencana alam termasuk banjir.- https://amiminerals.org/