Seorang maut letupan di Mahkamah Agung Brazil

letupan brazil

Polis mengawal lokasi kejadian di hadapan Mahkamah Agung Persekutuan Brazil di Brasilia semalam. – AFP

BRASILIA – Seorang terbunuh selepas dua siri letupan berlaku berhampiran Mahkamah Agung dan Kongres Brazil di ibu negara, Brasilia semalam, lapor saluran berita CNN.

Satu letupan berlaku di luar Mahkamah Agung, manakala satu lagi di jalan bersebelahan Annex 4 Kongres yang terletak berdekatan.

Seorang terbunuh dalam letupan itu, lapor CNN Brasil sebagai memetik Setiausaha Eksekutif Keselamatan Awam Brasilia.

CNN Brasil pada awalnya melaporkan, pihak berkuasa menyatakan bahawa letupan itu adalah serangan berani mati. Namun polis berkata, ia masih melakukan siasatan di sekitar kawasan itu.

Polis keselamatan persekutuan berada di tempat kejadian, manakala Plaza Three Powers yang menempatkan ketiga-tiga cabang kerajaan Brazil, telah dikepung.

Peguam Negara, Jorge Messias mengecam serangan itu dengan berkata, polis persekutuan akan menyiasat letupan di perimeter Plaza Three Powers dengan ketat dan segera.

“Kita perlu memahami motif di sebalik serangan ini serta memulihkan keamanan dan keselamatan secepat mungkin,” katanya di platform X.

The Three Powers Plaza adalah lokasi protes dan serangan besar-besaran pada 8 Januari lalu apabila penyokong bekas Presiden, Jair Bolsonaro menyerbu kawasan itu.

Terdapat rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap mahkamah kerana ia telah meluaskan kuasanya ke atas kes-kes melibatkan pelampau politik, maklumat palsu dan ancaman terhadap ketenteraman demokrasi. – AGENSI