SKUAD Harimau Malaya perlu menjadikan aksi persahabatan menentang pasukan ranking ke-187 dunia, Laos di Bangkok malam ini sebagai medan untuk memberi pendedahan dan pengalaman buat pemain-pemain muda.
Pandangan itu disuarakan oleh pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli yang menegaskan pengendali Harimau Malaya, Pau Marti perlu menggunakan kesempatan ini sebaik mungkin buat pemain yang kurang beraksi sebelum ini.
Kata Pekan, aksi menentang Laos dilihat lebih sesuai jika mahu menurunkan muka-muka baharu berbanding ketika menentang pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi seperti India minggu depan.
“Saya harap Pau Marti ni jangan sekadar panggil sahaja (pemain-pemain muda). Kalau nak panggil, tapi tak bagi peluang kepada mereka, baik tak perlu panggil.
“Saya harap mereka dapat diturunkan terutama pada perlawanan menentang Laos dan Pau Marti juga kena berani.
“Saya percaya dia bukan pilih pemain sekadar tangkap muat sebaliknya tahu kelebihan semua pemain-pemain terbabit,”katanya ketika dihubungi Kosmo!
Selain Arif Aiman Hanapi yang berusia 22 tahun, pemain-pemain muda lain dilihat agak sukar untuk menembusi kesebelasan utama skuad Harimau Malaya secara konsisten sebelum ini.
Namun, Pau Marti dilihat mengambil pendekatan lebih terbuka apabila turut memanggil pemain kurang ternama dari Kelantan Darul Naim (KDN FC), Fazrul Amir Md. Zaman untuk sertai skuad kali ini.
Antara pemain-pemain berusia bawah 24 tahun yang dipanggil kali ini seperti Fazrul Amir, Fergus Tierney, Haqimi Azim Rosli, Ubaidullah Shamsul Fazili, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, Harith Haiqal Adam Afkar dan Feroz Baharudin.