UNL: Belgium perlu raih kemenangan

BELGIUM

BELGIUM memerlukan kemenangan dalam dua aksi kali ini untuk layak ke pusingan seterusnya selepas mereka menghuni kedudukan ketiga apabila tewas dua daripada empat perlawanan. – AFP

BRUSSELS – Belgium berdepan isu kecederaan menjelang pertemuan menentang Itali dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah selepas empat pemain mereka terpaksa disisihkan pada aksi di Stadium King Baudouin awal pagi esok.

Charles De Ketelaere, Jeremy Doku, Malick Fofana dan Joaquin Seys sah terpaksa disisihkan untuk perlawanan tersebut serta bertemu Israel pada awal pagi Isnin nanti menyebabkan mereka memanggil empat pemain baharu.

Seys yang sebelum ini disebut-sebut bakal mendapatkan kap pertamanya pada aksi antarabangsa kali ini tidak dapat berbuat demikian selepas mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar ketika beraksi bersama Club Brugge pada hujung minggu lalu.

Situasi berkenaan menyebabkan Ketua Jurulatih Belgium, Domenico Tedesco terpaksa memanggil Samuel Mbangula, Arthur Vermeeren, Albert Sambi Lokonga dan Killian Sardella sebagai pengganti.

Vermeeran yang beraksi bersama RB Leipzig setakat ini sudah meraih empat kap bersama Belgium, manakala penyerang Sevilla, Sambi Lokonga kembali membuat penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan selepas kali terakhir pada Mac 2022.

Lebih menarik, Tedesco turut membuat keputusan membawa masuk pemain muda Juventus, Mbangula yang berjaya menembusi pasukan utama Juventus di bawah kendalian Thiago Motta musim ini.

Pemain sayap berusia 20 tahun itu sudah membuat enam penampilan bersama pasukan bawah 21 tahun Belgium dan kap pertamanya bersama skuad senior mampu menambah variasi di bahagian serangan.

Mbangula menyertai Akademi Juventus pada 2022 dan berjaya mempamerkan aksi cemerlang sebelum dipromosi ke skuad utama dengan membuat tujuh penampilan dalam aksi Serie A serta satu aksi Liga Juara-Juara setakat ini.

Dua perlawanan kali ini termasuk menentang Israel cukup penting buat Belgium yang menduduki tangga ketiga dengan ketinggalan enam mata berbanding pendahulu, Itali serta lima mata di belakang Perancis yang menghuni kedudukan kedua. – AGENSI