Meraung tahu Daim, bapa maut

WhatsApp Image 2024 11 12 at 17.36.58

Amalin Shahila (tiga dari kiri) bersama adiknya, Muhammad Daniel Hakim (kiri) sayu semasa majlis pengebumian jenazah bapa dan adik keempat mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Lek, Hulu Nerus, Setiu semalam.

SETIU – Dua beradik tidak dapat melupakan pelukan terakhir adik keempat mereka, Muhammad Daim Irfanshah, 6, yang maut bersama bapa, Saiful Azrin Awang, 42, dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris berhampiran Klinik Kesihatan Tekawang di sini semalam.

Amalin Shahila, 16, berkata, Muhammad Daim Irfanshah yang juga murid Tadika Kemas Kampung Alur Lek, Hulu Nerus, Setiu dekat sini memeluk erat dia dan adiknya , Muhammad Daniel Hakim, 13, sebaik sahaja tiba di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang di sini.

“Biasanya arwah ayah menghantar kami ke sekolah dan tadika dengan menaiki kereta tetapi semalam, tayar pancit pula.

“Mulanya ayah mahu menghantar saya dan Daniel Hakim dengan motosikal tetapi arwah Daim yang sudah berpakaian seragam tadika merengek mahu ikut juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alur Tek, Hulu Nerus, Setiu di sini hari ini.

Amalin Shahila berkata, arwah bapanya yang tidak sampai hati melihat Daim merengek membawanya sekali membonceng motosikal untuk ke sekolah.

Tambah anak kedua daripada lima beradik tersebut, Daim amat ceria dan sempat memeluk eratnya dan Daniel Hakim sebaik mereka tiba di sekolah.

“Kira-kira 10 minit kemudian, saya dan Daniel Hakim dikejutkan dengan berita kemalangan menimpa ayah dan Daim. Meraung saya melihat Daim meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala ayah yang parah dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu sebelum meninggal pada pukul 12 tengah hari,” ujarnya hiba.

Amalin Shahila berkata, dia dan tiga beradik lain termasuk kakak, Nazira Sahiza, 19, dan adik bongsu, Muhammad Dian Ariyan Shah yang baru berusia 15 bulan menjadi anak yatim sekelip mata dan kini ­bergantung harap dengan ibu, Norazalilah Mamat@Daud, 42.

Tambahnya, jenazah bapa dan adik lelakinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Lek pada pukul 7 malam semalam.