Lawatan rasmi sulung Anwar ke Peru, hadiri mesyuarat AELW

HARIMAU MALAYA ANWAR

Anwar

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Lima, Peru pada esok bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) yang ke-31 yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.

Menurut Kementerian Luar, lawatan rasmi ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke rantau Amerika Latin.

Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra bagi membincangkan kerjasama dua hala antara dua negara.

“(Perbincangan turut melibatkan) bidang perdagangan dan pelaburan serta industri halal, dan juga mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua negara.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, Perdana Menteri juga dijadual untuk mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.

“Ini merupakan kali ketiga Kerajaan Peru menjadi tuan rumah kepada AELM selepas tahun 2008 dan 2016,” katanya.

Penglibatan Perdana Menteri di AELM termasuk menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC adalah sebagai ahli panel dalam sesi bertema Opportunities and Challenges in the AI Revolution.

Kata Wisma Putra, Anwar juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC Dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) selain membuat Pencelahan semasa Sesi Pemukiman AELM.

“Di sela-sela AELM, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain.

“Sepanjang lawatan beliau, Perdana Menteri akan berkongsi keutamaan-keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi Madani yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan, dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua,” katanya. – https://amiminerals.org/