GEORGE TOWN – Majlis pecah tanah untuk pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dijangka diadakan pada awal tahun depan selepas proses rundingan melibatkan kos dan reka bentuknya dimuktamadkan nanti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, banyak rundingan telahpun dijalankan bersama pihak kontraktor utama dan perjanjian itu perlu dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Menurut beliau, pihaknya mengharapkan semua proses rundingan tersebut dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
“Jadi, dalam tempoh dua bulan ini, memang kita harap dapat keputusan muktamad dari segi perjanjian dengan kontraktor.
“Kita telah mendapat kelulusan dari Jemaah Menteri tetapi dari segi kos terperinci dan juga kos pembinaan ini ia perlu dirundingkan dengan pihak kontraktor. Proses itu telah mengambil masa beberapa bulan ini sebab banyak perkara terperinci yang perlu kita lihat dan sekarang ini sudah berada dalam fasa terakhir.
“Selepas itu, sudah tentu kita akan buat pengumuman dan juga satu majlis rasmi pecah tanah untuk kita mulakan projek pembinaan. Ia dijangkakan awal tahun depan, kita boleh mulakan,” katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai perkembangan LRT Laluan Mutiara.
Terdahulu beliau hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).
Pada majlis tersebut, turut diadakan adalah Majlis Menandatangani Perjanjian Induk (HoA) antara RAC dan Rivanis Ventures Sdn. Bhd. bagi pembangunan sebahagian Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 Bandar Perai, Seberang Perai Tengah di sini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, perancangan awal bagi projek LRT membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hingga ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya laluan disambung hingga ke Penang Sentral di Seberang Perai.
“Di sini berlaku pengubahsuaian skop dan juga reka bentuk jajaran yang ia juga sudah tentu akan ada perubahan dari segi kos pembinaan.
“Kena ada jajaran yang lebih sesuai untuk kereta api lalu. Saya fikir sudah tentu perlu ada pengubahsuaian dari segi reka bentuknya. Itu sebabnya banyak rundingan telahpun dijalankan,” ujarnya.
Terdahulu, Pada 29 Mac lalu, Anthony mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dengan MRT Corp dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset.-https://amiminerals.org/