Staf veterinar Terengganu kemuka dokumen palsu didenda RM5,000

WhatsApp Image 2024 11 11 at 2.51.38 PM

Mohd. Hisyam didenda RM5,000 atas kesalahan mengemukakan dokumen palsu berhubung tuntutan penyelengaraan kenderaan rasmi JPV di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Perbuatan seorang penolong pegawai veterinar mengemukakan dokumen palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) tidak wujud berbalas apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Hisham Daud, 46, membuat pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan pilihan yang dihadapinya.

Beliau memutuskan bapa empat anak didenda sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pilihan pertama, manakala RM3,000 pula untuk pertuduhan pilihan kedua selain penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mohd. Hisyam didakwa mengemukakan dokumen palsu berhubung kerja-kerja penyelenggaraan dua kenderaan rasmi milik JPV Terengganu bernilai keseluruhan RM5,382.19

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat JPV Terengganu pada Mac 2019 hingga Jun 2020.

Berdasarkan fakta kes, dia yang berkhidmat sebagai Pengurus Perkhidmatan Industri Tenusu Besut didakwa mengemukakan dokumen palsu sebut harga kerja-kerja penyelenggaraan pendingin hawa kenderaan rasmi JPV yang sebenarnya tidak pernah dilaksanakan.

Mohd. Hisyam didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kosmo! Online pada 8 Mei lalu melaporkan Mohd. Hisyam dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – https://amiminerals.org/