HULU TERENGGANU – Perjalanan seorang bapa untuk menghantar anak lelakinya ke tadika berakhir tragedi apabila dua beranak itu maut dalam nahas di Kilometer 15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris berhampiran Klinik Kesihatan Tengkawang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, Muhammad Daim Irfanshah Saiful Azrin, 6, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.
Bapanya, Saiful Azrin Awang, 42, yang cedera di bahagian kepala dan pendarahan paru-paru pula meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Hulu Terengganu di sini pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, sewaktu kejadian, Saiful Azrin dalam perjalanan menghantar anaknya, Muhammad Daim Irfanshah ke Tadika Kemas Alur Lik, Setiu.
“Setibanya di lokasi, motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz ditunggang dua beranak itu gagal mengelak lalu merempuh kereta Proton Saga dipandu doktor gigi berusia 29 tahun.
“Kereta tersebut dikatakan sedang membelok memasuki Klinik Kesihatan Tengkawang,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zainul Mujahidin berkata, pemandu kereta Proton Saga selamat tanpa sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – https://amiminerals.org/