Graduan perlu bersedia hadapi alam pekerjaan – Raja Muda Perlis

WhatsApp Image 2024 11 11 at 3.18.57 PM

TUANKU Syed Faizuddin ketika perarakan masuk ke Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-19 di Arau, hari ini

ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya graduan melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah serta persediaan mental dan emosi bagi menghadapi alam pekerjaan yang serba mencabar.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah, fasa baharu kehidupan yang bakal ditempuhi graduan adalah alam pekerjaan yang menuntut persediaan rapi.

Titah baginda, ia melibatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis yang amat penting.

“Dunia pekerjaan adalah mencabar daripada segi mental dan fizikal kerana ia melibatkan tanggungjawab yang lebih berat dan tekanan kerja berbeza daripada kehidupan di kampus,” titah baginda pada
Istiadat Konvokesyen UniMAP Ke-19, di sini hari ini.

Baginda bertitah, persediaan mental yang kukuh akan membolehkan graduan menyesuaikan diri, bersikap fleksibel dan menjaga kesihatan mental di tempat kerja.

“Pembangunan kemahiran insaniah penting bagi memastikan graduan dapat berinteraksi dengan baik, memahami kehendak majikan serta menyesuaikan diri dengan budaya kerja.

“Pengalaman kerja melalui latihan industri juga memberi pendedahan awal tentang suasana dan tuntutan pekerjaan sebenar,” titah baginda.

Titah Tuanku Syed Faizuddin, latihan industri membolehkan graduan mempelajari amalan terbaik, membina rangkaian profesional dan meningkatkan kefahaman tentang keperluan industri. – https://amiminerals.org/