MAIWP bantu asnaf celik al-Quran

MAIWP

Dr. Muhammad Razak (dua dari kiri) menyerahkan sijil khatam kepada wakil peserta pada Majlis Khatam al-Quran Perdana Kali ke-4 1446H/2024M di Masjid Wilayah Persekutuan. – FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Seramai 250 asnaf dari lapan buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Wilayah Persekutuan berjaya khatam al-Quran menerusi Program Khatam al-Quran Perdana Jom Celik al-Quran Kali Ke-4 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Yayasan Institut Pengajian al-Quran (IPaQ) di sini, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, prog­ram tersebut yang telah dilaksanakan sejak tahun 2020 memfokuskan kepada pelaksanaan Kelas Tahsin (hal memperelok dan memperindah bacaan al-Quran dari pelbagai aspek seperti tajwid dan lagu) menuju khatam, dengan matlamat supaya masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan mampu membaca al-Quran dengan baik.

Ujarnya, seramai 302 peserta telah pun mengikuti program tersebut sejak dilancarkan.

“Untuk tujuan ini, MAIWP telah memperuntukkan dana zakat berjumlah RM350,000 pada 2024 bagi membiayai program Jom Celik al-Quran.

“Selain itu, saya difahamkan insya-Allah bermula tahun 2025, MAIWP memperuntukkan dana zakat berjumlah RM324,000 bagi pembekalan 5,000 unit naskah al-Quran berserta terjemahan yang akan diagihkan kepada pelajar baharu institusi pendidikan milik MAIWP,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Muhamad Razak Idris pada maj­lis khatam sempena Program Celik al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan.

Turut hadir pada majlis berke­naan ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IPaQ, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff.

Sementara itu, Mohd. Naim berkata, beliau meminta MAIWP supaya terus memperhebat usaha untuk memasyarakatkan al-Quran kepada golongan asnaf dan anak-anak asnaf khususnya.

“Semoga apabila para asnaf diberikan ilmu-ilmu al-Quran, ia akan memberikan kekuatan dalaman kepada mereka untuk berhadapan dengan segala ujian kehidupan.

“Saya percaya ini adalah perjua­ngan kita semua. Ia memerlukan kesabaran serta semangat yang tinggi untuk membawa agenda al-Quran kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ke­tua Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya berkata, pihaknya sedang meneliti keperluan untuk memperluas program celik al-Quran hingga ke Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.

“Kita akan meluaskan program seperti ini. Daripada sumber kewangan dan bilangan petugas yang kita ada, insya-Allah kita akan meluaskan.

“Kita juga akan lihat kepada pe­ngajian al-Quran dan Tahsin untuk memperbaiki bacaan terutamanya melibatkan golongan asnaf di PPR,” katanya.