Seorang maut, 16 cedera dalam tembakan di universiti Alabama

tembakan universiti 2

Anggota-anggota polis tiba di Universiti Tuskegee, Alabama untuk melakukan siasatan. – NBC News

TUSKEGEE, ALABAMA – Seorang terbunuh, manakala 16 lagi cedera termasuk pelajar dalam kejadian tembakan di Universiti Tuskegee di Alabama, Amerika Syarikat (AS), lapor saluran berita Sky News semalam.

Kejadian berlaku sekitar pukul 1.40 pagi (waktu tempatan) ketika kampus itu mengadakan acara Homecoming ke-100 sempena meraikan kepulangan pelajar. 

Universiti Tuskegee dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mangsa yang terbunuh bukan pelajar, manakala 12 lagi mengalami kecederaan berkaitan tembakan. 

“Mangsa yang lain termasuk pelajar Universiti Tuskegee, menerima rawatan di Pusat Perubatan Alabama Timur di Opelika dan Hospital Baptist South di Montgomery,” kata kenyataan itu. 

Ketua Polis Tuskegee, Patrick Mardis berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan ketika cuba meninggalkan tempat kejadian dengan senjata. 

“Mereka yang cedera termasuk seorang pelajar perempuan yang ditembak di bahagian perut dan seorang pelajar lelaki yang dipukul di bahagian lengan. 

“Semua kelas pada Isnin dibatalkan,” tambah Mardis.

Biro Penyiasatan Negeri Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama berkata, ejennya dimaklumkan tentang beberapa orang yang ditembak sekitar 1.40 pagi (waktu tempatan) dan ia masih mengumpul maklumat. – AGENSI