TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba mengekalkan jawatannya selepas ‘terselamat’ dalam undi Parlimen hari ini meskipun merekodkan keputusan pilihan raya umum paling teruk dalam tempoh 15 tahun selepas beliau mengetuai parti gabungan.
Ahli-ahli Parlimen melantik bekas menteri pertahanan itu sebagai ketua kerajaan minoriti. Ini bermaksud beliau mungkin menghadapi kesukaran atau perlu bertolak ansur untuk meluluskan rang undang-undang baharu.
Ishiba mengambil alih jawatan Perdana Menteri enam minggu lalu dan mengadakan pilihan raya mengejut pada 27 Oktober, dengan harapan untuk menyokong mandatnya sebagai ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) konservatif.
Namun, pengundi tidak berpuas hati dengan kadar inflasi dan skandal dana yang membantu menjatuhkan pendahulunya, Fumio Kishida. Ia memberikan tamparan terhadap bilangan undi LDP dan parti gabungan mudanya.
Ahli Parlimen di Dewan Perwakilan yang berkuasa bersidang hari ini bagi sesi khas selama empat hari untuk mencalonkan Perdana Menteri, satu langkah yang perlu dilakukan selepas pilihan raya umum.
Parti-parti pembangkang bagaimanapun berpecah-belah dalam isu-isu utama sekali gus menghalang mereka melancarkan cabaran kuat kepada Ishiba.
Dalam pusingan terakhir, Ishiba memenangi 221 undi berbanding 160 untuk Yoshihiko Noda yang merupakan ketua pembangkang utama Parti Demokratik Berperlembagaan Jepun (CDP).
Sebanyak 84 undi tidak dikira kerana mereka menamakan ahli politik lain.
“Dewan ini menamakan Shigeru Ishiba sebagai Perdana Menteri,” umum Speaker Dewan Perwakilan, Fukushiro Nukaga sambil Ishiba tunduk hormat kepada Ahli-ahli Parlimen lain yang bertepuk tangan.
Walaupun kehilangan majoriti dalam pilihan raya Oktober lalu, gabungan LDP kekal sebagai blok terbesar dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 kerusi.
Ishiba akan mengumumkan Kabinet baharu pada Isnin depan, yang akan diluluskan secara istiadat oleh Maharaja Jepun. – AFP