Trump 2.0 Dijangka Mampu Tingkatkan Hubungan Ekonomi Dan Keselamatan Malaysia-AS – Penganalisis

098625590313288f2db17a50ae91ba306729f18c10cd9Foto: REUTERS

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Iteenews)– Kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 dilihat berpotensi memperkukuh hubunganAS dengan Malaysia, terutamanya dalam aspek ekonomi dan keselamatan.

Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Collins Chong Yew Keat berkata pendekatan “America First” Trump yang sering dikritik mungkin sebenarnya boleh membuka peluang ekonomi lebih besar untuk Malaysia dengan adanya penyesuaian dasar yang lebih transaksional.

“Kita mungkin melihat peningkatan fleksibiliti Trump dalam penggal kedua ini, dengan fokus kepada perundingan langsung dengan kuasa besar seperti China dan Rusia. Ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukan dalam perdagangan dan keselamatan maritim.

Amerika merupakan ekonomi terbesar dunia, dan kekuatan ekonomi ini membantu kestabilan global. Dengan Trump kembali, kita mungkin melihat kadar pengangguran yang rendah serta lonjakan dalam pasaran saham, yang baik untuk ekonomi dunia,” katanya dalam temu bual program BERNAMA TV Ruang Bicara pada Isnin.

Beliau berkatawalaupun ramai bimbang terhadap impak tarif tinggi oleh Trump, Malaysia mungkin mampu mengatasi cabaran ini melalui penyelarasan dan perundingan yang lebih erat dengan AS.

Chong berkata dasar Trump yang mahu meningkatkan peranan AS dalam keselamatan maritim antarabangsa dilihat sebagai faktor penting bagi Malaysia, sebuah negara yang banyak bergantung kepada laluan perdagangan di Laut China Selatan.

Dalam aspek keselamatan serantau juga, beliau berpendapat kerjasama pertahanan antara Malaysia dan AS mungkin akan bertambah kukuh di bawah Trump.

“Keselamatan laluan perdagangan maritim adalah penting untuk kestabilan ekonomi dunia, dan AS memainkan peranan besar dalam mengekalkan peraturan antarabangsa ini.