Mazda kutip dana hampir RM1 juta anjur golf amal

PIHAK Pengurusan Bermaz Motor

PIHAK Pengurusan Bermaz Motor bergambar bersama wakil-wakil penerima bantuan serta anak-anak yatim dan cacat penglihatan.

PETALING JAYA – Pengedar utama Mazda di Malaysia, Bermaz Motor berjaya mengutip sebanyak RM905,302 menerusi Kejohanan Golf Amal Mazda ke-10 di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, baru-baru ini.

Acara amal tahunan ini telah berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta dan kutipan tersebut akan disalurkan sepenuhnya kepada Mazda Medicare Fund (MMF) bagi menyokong inisiatif-inisiatif kebajikannya di seluruh Malaysia.

MMF ditubuhkan untuk memberikan bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada golongan kurang bernasib baik, termasuk komuniti-komuniti kebajikan seperti rumah warga emas, rumah anak yatim, dan pusat penjagaan golongan kurang upaya.

Selain itu, MMF juga menyokong pesakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) yang memerlukan rawatan hemodialisis.

Ia juga bekerjasama dengan beberapa pihak antara Prima Merdu Sdn Bhd dan B. Braun Avitum Renal Services (BARS) di 13 pusat dialisis seluruh negara.

Terdahulu, ketika majlis makan tengah hari dan penyampaian hadiah, Bermaz Motor turut menyampaikan cek simbolik kepada wakil komuniti penerima manfaat.

Ia juga termasuk Tabung Kebajikan Penyakit Kanser Mount Miriam di Hospital Kanser Mount Miriam, Pertubuhan Kebajikan Perlindungan Jotti dan Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim dan Cacat Perlindungan Selangor.

Dalam pada itu, Bermaz Motor juga memperkenalkan Kad Keistimewaan Mazda (Mazda Privilege Card atau MPC) pada tahun 2018 di mana yuran RM100 untuk pendaftaran kad ini disumbangkan kepada MMF bagi memperkukuh usaha kebajikannya.

Pemegang MPC bukan sahaja menyumbang kepada kebajikan malah menikmati potongan harga di pusat servis dan kedai alat ganti Mazda, serta pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dengan komitmen dan sokongan dari pemilik Mazda, penderma dan para penaja, MMF terus memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat yang memerlukan, memupuk budaya amal yang berterusan dalam komuniti Mazda di Malaysia.