SUNGAI GOLOK, THAILAND – Penemuan sebanyak 6,000 biji pil kuda bersama seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan dan lima individu di sebuah hotel di Golok, Thailand pada minggu lalu dipercayai ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Pol Col Jadsadavit Inprapan berkata, siasatan awal mendapati, jumlah dadah tersebut banyak dan tidak mungkin ia akan digunakan sendiri oleh kesemua suspek.
Menurutnya, berdasarkan undang-undang baharu melibatkan dadah di Thailand, kuantiti dadah yang dirampas di dalam bilik itu juga menunjukkan bahawa suspek terbabit dalam kegiatan menjual bahan tersebut.
“Jika sebiji sahaja pil kuda ditemui, mungkin mereka menghisap sendiri dadah tersebut. Apabila kuantitinya banyak dan berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh, ia berkemungkinan untuk dijual. Perkara itu termaktub dalam undang-undang di Thailand.
“Mengikut undang-undang melibatkan kesalahan dadah di negara ini, urusan jual beli dadah bukan hanya melibatkan wang. Jika dadah itu hanya diberi percuma, ia juga dikira terbabit dalam kegiatan jual beli dadah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Balai Polis Sungai Golok, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Jadsadavit memberitahu, bagaimanapun, kesemua suspek masih boleh mengemukakan bukti-bukti lanjut di mahkamah sekiranya mereka tidak terlibat dengan kegiatan tersebut.
Menurutnya, polis menjalankan serbuan dan tangkapan pada hari tersebut selepas menerima maklumat mengenai kegiatan melibatkan dadah di hotel itu.
“Serbuan dan tangkapan dijalankan mengikut prosedur tanpa mengira status suspek sama ada melibatkan individu popular atau orang biasa. Kita tidak kenal mereka. Setiap kes disiasat secara adil tidak kira kesalahan dadah atau jenayah lain yang dilakukan di kawasan Sungai Golok.
“Ada yang mengatakan bahawa mereka diperangkap atau dikhianat apabila ada dakwaan bahawa dua individu yang dipercayai melarikan diri. Siasatan mendapati, kesemua dadah itu dijumpai di bawah sinki di dalam bilik yang ada kesemua suspek.
“Kita menjalankan operasi kira-kira pukul 1 hingga 2 pagi di hotel itu sebelum menyerbu bilik keenam-enam suspek pada pukul 5 pagi dan mereka semua ada di situ,” ujarnya.
Jadsadavit berkata, selain itu, ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kebiasaannya keputusan awal itu akan diguna untuk setiap kes dadah.
Menurutnya, selain sampel urin, keputusan forensik pil kuda yang dijumpai dan cap jari akan diperoleh tidak lebih daripada sebulan selepas tangkapan suspek.
“Banyak pihak yang mengeluarkan banyak spekulasi yang tidak benar mengenai kes itu, tetapi ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.
“Jadi, polis menahan mereka berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh iaitu sebanyak 6,000 biji pil kuda dan urin kesemua suspek,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada Jumaat minggu lalu.
Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi terbabit ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.
Mereka masuk ke negara itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali. – https://amiminerals.org/