Keanggotaan BRICS Tawar Landskap Perdagangan Global Lebih Saksama Kepada Malaysia – Duta Rusia

23e5e645fa56c69ddd4eaa477c127aa2672e05986a5aaNaiyl Latypov

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Iteenews) — BRICS menawarkan laluan kepada sistem perdagangan global yang lebih adil sekali gus akan memberi manfaat kepada negara yang lebih kecil dan sedang membangun, kata Duta Rusia di Malaysia, Naiyl Latypov.

Beliau yang turut mengalu-alukan minat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan itu berkata BRICS komited untuk menangani orde perdagangan antarabangsa, yang kini dikuasai oleh negara tertentu yang mengekalkan peraturan mereka sendiri.

“Kalangan negara besar yang menguasai perdagangan antarabangsa sentiasa mencari jalan untuk melindungi kepentingan mereka, kadangkala dengan meminggirkan ekonomi yang lebih kecil dan sedang membangun,” katanya di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara RusGrain Union dan Melewar Industrial Group.

Latypov juga menyatakan kesediaan Rusia untuk menyokong keanggotaan Malaysia dalam BRICS, dan keanggotaan itu akan mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan rakan dagang utama dalam BRICS seperti China dan India.

“Kami gembira apabila kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyertai BRICS, dan kami bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan kami di Malaysia mengenai perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui laluan Malaysia untuk mendapatkan keanggotaan penuh mungkin mencabar disebabkan oleh struktur membuat keputusan berasaskan konsensus yang ditetapkan BRICS.

“Perkara (untuk mendapatkan keanggotaan penuh) itu akan menjadi satu proses yang panjang dan sukar, kerana kita perlu menyelaraskan banyak isu,” katanya.

Di sebalik kesukaran itu, penyertaan Malaysia boleh membawa manfaat ekonomi yang besar, katanya.