Dua dekad kecemerlangan Rapid KL

Rapid KL 1

Kemudahan pengangkutan Rapid KL selama 20 tahun telah menabur bakti memudahkan perjalanan dan kelancaran aktiviti warga kota bukan sahaja bagi pekerja asing tetapi juga pelancong luar negara.

PETALING JAYA – Sepanjang dua dekad melaksanakan misi menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan pengguna, ternyata tanggungjawab yang digalas oleh Rapid KL dalam tempoh tersebut bukanlah sesuatu yang mudah malah memerlukan satu pasukan yang mampu menjadikan misi itu tidak mustahil untuk dilakukan.

Rapid KL, jenama perkhidmatan di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi pengangkutan rel dan bas di Lembah Klang sepatutnya berbangga dengan kejayaan mereka menempuh perjalanan masa selama 20 tahun dengan kejayaan-kejayaan operasi mereka selama ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah ketika bercerita mengenai perkembangan Rapid KL berkata, bermula dengan dua laluan dan 49 buah stesen rel, serta 179 laluan bagi perkhidmatan bas, Rapid KL kini mengoperasi lima laluan dan 149 buah stesen rel serta rangkaian bas yang melebihi 270 laluan di Lembah Klang.

Hasil usaha, tekad dan komitmen lebih daripada 13,000 warga kerja Kumpulan Prasarana yang memberi khidmat kepada lebih daripada 1.2 juta orang pengguna harian secara purata merangkumi perkhidmatan rel dan bas, Rapid KL kini menjadi tulang belakang pengangkutan awam di Lembah Klang.

Jelas beliau, pelbagai usaha dan pelan baharu telah dirangka bagi memastikan Rapid KL terus unggul dalam perkhidmatannya menje­lang tahun-tahun ke hadapan serta cabaran-cabaran yang bakal mendatang.

Antaranya, menyediakan per­khidmatan bas elektrik yang digunakan di Laluan Bas Rapid Transit (BRT) Sunway, selaras de­ngan prinsip kelestarian dan komitmen untuk mengurangkan jejak karbon.

“Setakat 6 Oktober lalu, seramai 904,000 pengguna telah menggunakan perkhidmatan rel Rapid KL tahun ini, manakala pengguna perkhidmatan bas di Lembah Klang, Kuantan dan Pulau Pinang berjumlah 285,000 orang.

“Kami menjangkakan pada 2025, pengguna rel Rapid KL akan mencapai seramai 1.09 juta dan pengguna bas di Lembah Klang, termasuk Pulau Pinang dan Kuantan mencecah 350,000 orang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Rapid KL 2
Mohd. Azharuddin

Bukan itu sahaja, jelas Mohd. Azharuddin, Rapid KL telah mengoperasikan perkhidmatan ‘van-on-demand’ – Rapid DRT sebanyak 20 buah pada Jun tahun ini dan dijangkakan sebanyak 300 buah van akan berkhidmat pada suku pertama tahun 2025.

Dalam pada itu, peningkatan penggunaan harian yang konsisten antara lain didorong oleh inisiatif berterusan pihaknya dalam mempertingkatkan pengalaman pengguna termasuk dari segi ketersediaan per­khidmatan dan kea­daan fasiliti serta kemudahan awam.

Bagi perkhidmatan rel, Prasarana memaklumkan mereka sedang berusaha menambah baik perkhidmatan untuk memastikan perjalanan yang lancar bagi penumpang di kesemua laluan kendaliannya.

Selain itu, mereka telah memulakan pengoperasian empat tren bagi Laluan Kelana Jaya di bawah projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV27) sejak September tahun lalu dan ketika ini, laluan tersebut secara purata bero­perasi dengan 56 tren dan kekerapan purata selama tiga minit.

Malah jelas Mohd Azharuddin, bilangan tren pada laluan tersebut bakal ditambah kepada 59 tren de­ngan kekerapan purata selama 2.8 minit pada 2025.

Penggunaan Laluan Putrajaya juga menunjukkan angka yang memberangsangkan dengan purata operasi laluan tersebut pada tahun ini adalah sebanyak 37 tren dengan kekerapan purata selama 4.8 minit.

Bilangan tren dijangka ditambah kepada 40 buah, dengan kekerapan 4.5 minit tahun depan.

Namun, perjalanan Rapid KL juga tidak terlepas daripada berdepan cabaran tersendiri. Pasca pandemik Covid-19, cabaran terbesarnya ialah untuk kembali memenangi kepercayaan pengguna, termasuk dari segi keselamatan.

“Walaupun berdepan kesukaran, Rapid KL terus mengejar matlamat untuk menyumbang kepada visi menyeluruh kerajaan bagi mencapai sasaran nisbah peratusan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030 serta memberi tum­puan kepada kebolehpercayaan dan penambahbaikan perkhidmatan,” katanya.

Rapid kl 3
Program terbaharu Rapid KL meningkatkan pengetahuan orang ramai tentang kemudahan yang disediakan kepada umum.

Dalam pada itu, Mohd. Azharuddin menambah, bersempena de­ngan 20 tahun perkhidmatannya, Festival Rapid KL – Dua Dekad Bersama akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini, bersamaan 9 dan 10 November di Plaza Raintree, TRX, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, acara dua hari itu akan menampilkan pelbagai akti­viti menarik seperti pesta makanan yang mengetengahkan peniaga-peniaga lokal, persembahan dan aktiviti-aktiviti lain bagi memeriahkan sambutan ulang tahun Rapid KL.

“Festival Rapid KL – Dua Dekad Bersama ini bukan sekadar acara untuk meraikan ulang tahun, tetapi juga menjadi satu platform untuk mendekatkan Rapid KL dengan anggota masyarakat,

“Ia juga disasarkan dapat memberi inspirasi dan merangsang kesedaran tentang kepen­tingan pengangkutan awam dalam kehidupan bandar yang mampan.

“Selain pameran transformasi Rapid KL serta projek-projek yang akan datang seperti Projek Laluan Shah Alam serta Laluan Lingkaran MRT3, pengunjung akan dapat menyaksikan perjalanan Rapid KL sepanjang dua dekad melalui pameran foto, dokumentari pendek dan infografik.

“Pameran ini akan memperlihatkan sejarah Rapid KL, perkembangan rangkaian pengangkutan awam, serta pelbagai pencapaian dan inisiatif yang dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, turut diadakan ialah pelancaran produk terkini Rapid KL, iaitu Pas MyTourist pada hari Ahad, yang mana ia merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk memperkaya pengalaman pelancong tempatan dan antarabangsa di Lembah Klang.

Pas tersebut yang tersedia untuk tempoh satu, dua atau tiga hari menawarkan perjalanan tanpa had untuk tren dan bas Rapid KL yang memudahkan pelancong meneroka kepelbagaian budaya dan makanan di Lembah Klang, selain diskaun eks­klusif di pusat tarikan utama dan rakan peniaga yang mengambil bahagian.