Natxo Insa layak sertai Harimau Malaya

Natxo Insa

INSA cemerlang bersama JDT musim ini dan memberi nilai tambah buat Harimau Malaya. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

KEMUNCULAN semula Natxo Insa dalam skuad kebangsaan tidak wajar dijadikan bahan perdebatan dan ia membuktikan pengendali negara, Pau Marti Vicente turut mendengar pendapat daripada penyokong tempatan.

Walaupun pernah mencetuskan kritikan terhadap penampilannya di Piala Asia, penyenaraian Insa dilihat hadir tepat pada masanya kerana pemain kelahiran Sepanyol itu sudah memenuhi semua kriteria yang dimahukan penyokong.

Bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir percaya pengalaman dan kualiti yang dipamerkan Insa bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu diteruskan dengan Harimau Malaya.

“Kalau kita tengok prestasinya di JDT, memang tidak oleh disangkal lagi kerana bagi saya dengan pengalamannya, dia memang layak dipanggil. Apabila dia beraksi baik bersama JDT, mungkin kali ini dia boleh bantu pasukan kebangsaan.

“Sebelum ini dia jarang bermain dengan JDT tetapi di bawah Hector Bidoglio dia selalu beraksi. Kalau penyokong mahu lihat pemilihan berdasarkan prestasi terkini, dia sememangnya berhak.

“Soal perbezaan kualiti rakan sepasukan antara JDT dan Harimau Malaya tidak timbul kerana pemain lain yang dipanggil juga adalah sahabat dia. Jadi bagi saya kalau ikut prestasi memang tidak ada masalah,”katanya.

Sebelum ini, kelibat Insa di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) mendapat pujian ramai hingga namanya kembali disenaraikan dalam kem latihan kebangsaan yang akan bermula Ahad ini.

Daripada senarai dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin, Pau Marti mengekalkan 20 daripada 26 pemain yang menyertai kem pusat ketika berkunjung ke New Zealand bulan lalu.

Selain Insa, lima pemain baharu dipanggil kali ini iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli (Perak FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC) dan kapten, Dion Cools (Buriram United).