MELAKA – Seorang wanita parah selepas terperosok di bawah sebuah kereta yang tiba-tiba terbabas di hadapan rumah mangsa di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa wanita berusia 38 tahun mengalami patah tangan, kaki, pinggul dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Toyota Yaris berusia 29 tahun terbabit diserang sawan menyebabkannya gagal mengawal kenderaan.
“Pemandu dipercayai mengalami sawan menyebabkan kereta dipandunya terbabas ke arah mangsa yang ketika itu sedang membersihkan pokok di bahagian luar hadapan rumahnya.
“Mangsa terperosok di bawah kenderaan terbabit sebelum dibantu oleh orang awam untuk dikejarkan ke hospital,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Difahamkan, pemandu tersebut tidak menetap di taman tersebut sebaliknya hanya menggunakan laluan itu sebagai jalan pintas untuk ke Batu Berendam.
Mengulas lanjut Christopher berkata, setakat ini kedua-dua pihak masih belum tampil membuat laporan berhubung kemalangan tersebut. – https://amiminerals.org/